Khamis, 27 Oktober 2016 | 10:35pm

MPB menang Perak, Anugerah Sumber Manusia Malaysia 2016


Nor Arzlin Redzwan (tengah) merima anugerah daripada Dr Henry Yeoh (kanan) sambil diperhatikan Aresandiran.

PETALING JAYA: Media Prima Bhd (MPB) menerima anugerah Perak bagi kategori Inovasi Sumber Manusia pada majlis Anugerah Sumber Manusia Malaysia 2016 malam ini.

Pengurus Besar Sumber Manusia MPB, Nor Arzlin Redzwan yang menerima anugerah itu menyifatkan kemenangan itu tidak akan tercapai tanpa pengorbanan, dedikasi dan kefahaman peranan semua anggota Jabatan Sumber Manusia di MPB.

Katanya, pengiktirafan itu juga adalah sebagai tanda penghormatan kepada pengamal sumber manusia yang menyumbang terhadap kecemerlangan di tempat kerja dan tenaga kerja.

"Kami amat berbesar hati dengan kemenangan ini dan berasa amat bersyukur. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada juri dan Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) di atas pengiktirafan ini.

"Bagi kami di MPB, anugerah ini juga adalah bukti mengenai usaha kolektif semua di jabatan kami," katanya ketika ditemui pada majlis anugerah berkenaan di sini, sebentar tadi.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Presiden MIHRM, Dr Henry Yeoh.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Presiden MIHRM, Aresandiran J.

Anugerah Sumber Manusia Malaysia adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh MIHRM dengan kerjasama JobStreet.com.

Penganjurannya bertujuan menggalakkan pengiktirafan sumber manusia dan aplikasi pengurusan serta strategi sumber manusia dalam pencapaian petunjuk pretasi utama (KPI) perniagaan selain menggalakkan pengiktirafan sumber manusia sebagai suatu sumber dan juga aset untuk mencapai pertumbuhan.

Berita Harian X