Selasa, 25 Oktober 2016 | 6:53am

Perang berikutnya dengan Gaza adalah yang terakhir: Israel

MENTERI Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman. - Foto AP

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, dalam satu temubual dengan akhbar Palestin hari ini menegaskan perang seterusnya dengan pejuang Gaza akan menjadi yang terakhir kerana 'akan memusnahkan mereka sepenuhnya.'

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak berhasrat memulakan perang baru di Gaza, yang keempat sejak 2008.

Beliau menggesa Palestin menekan Hamas, pergerakan yang mentadbir Semenanjung Gaza supaya menghentikan 'dasar gila mereka.'

"Sebagai Menteri Pertahanan, saya mahu menjelaskan kami tidak berhasrat memulakan perang baharu terhadap jiran kami di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat, Lubnan atau Syria.

"Namun di Gaza, seperti Iran, mereka berhasrat memusnahkan Israel. Jika memulakan perang dengan Israel, ia akan menjadi yang terakhir buat mereka. Saya tegaskan sekali lagi: Ia menjadi yang terakhir kerana kami akan memusnahkan mereka sepenuhnya," katanya kepada akhbar Al-Quds.

Lieberman ialah sebahagian apa yang dilihat kerajaan berhaluan paling kanan dalam sejarah Israel, dengan sebahagian tokoh terkenal dalam kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menentang secara terbuka penubuhan negara merdeka Palestin.

Namun, walaupun dikenali tokoh pelampau berfikiran tentera, Lieberman percaya dengan penyelesaian dua negara kepada konflik itu.

Beliau menegaskan keadaan itu dalam temubual, berkata beliau melihat blok penempatan utama di Tebing Barat kekal menjadi sebahagian Israel menurut perjanjian damai akhir.

Lieberman, yang menduduki jawatan itu Mei lalu, juga mengkritik Presiden Mahmud Abbas, menuduh beliau gagal bertegas yang membawa kepada perdamaian.

Beliau menjangkakan Abbas akan kalah jika pilihan raya diadakan, dengan tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat Palestin mahu pemimpin berusia 81 tahun itu meletak jawatan. -AFP

Berita Harian X