Isnin, 24 Oktober 2016 | 9:03pm

DRB-Hicom FC perlu hantar surat rasmi


KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP , Kevin Ramalingam pada sidang media memperkenalkan beliau di Wisma FAM. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak DRB-Hicom (DRB-Hicom FC) perlu mengemukakan surat rasmi kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) jika berhasrat menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam, ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata pihaknya hanya mengetahui keputusan DRB-Hicom FC untuk menarik diri daripada saingan Liga Perdana menerusi media sosial serta surat khabar.

FMLLP adalah badan khas yang mengendalikan Liga-M bermula musim 2016.

"Mengenai perlawanan play-off antara Sime Darby FC dan Angkatan Tentera Malaysia yang digembar-gembur dalam media sosial, ia tidak akan berlaku memandangkan kita tidak menerima apa-apa makluman daripada DRB-Hicom FC mengenai keputusan mereka untuk menarik diri," katanya.

Kevin pada masa sama menjelaskan, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan ke atas DRB-Hicom FC, termasuk mengenakan denda terhadap pasukan berkenaan memandangkan Liga-M 2017 belum bermula.

Media hari ini melaporkan DRB-Hicom FC bercadang menarik diri daripada saingan Liga-M musim depan, selepas dikatakan berdepan masalah kewangan.

Difahamkan, pemain pasukan 'The Great Bees' itu juga dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan oleh pengurusan pasukan.

Pasukan yang berpangkalan di Stadium Proton, Tanjung Malim itu, sebelum ini dikenali sebagai Pos Malaysia FC selepas ditubuhkan pada Mac 2008 dan menjuarai Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada musim berikutnya sebelum dijenamakan sebagai DRB-Hicom FC pada 2014.

Isu penarikan diri pasukan daripada Liga-M bukanlah perkara baharu memandangkan beberapa pasukan seperti MP Muar dan USM FC turut berbuat demikian kerana berdepan masalah kewangan. - BERNAMA

Berita Harian X