Isnin, 24 Oktober 2016 | 12:02am

Siri 2 jam Apple curi tumpuan di sisi populariti iPhone 7

PERANTI telefon pintar popular, Apple, kini mula dipasarkan di Malaysia, seperti dijangka iPhone 7 dan iPhone 7 Plus, berjaya meneruskan momentum permintaan luar biasa pengguna terhadap peranti ikon gergasi elektronik Amerika Syarikat itu.

Namun menariknya kali ini, perhatian pengguna Malaysia tidak hanya tertumpu kepada kedua-dua peranti itu.

Rata-rata turut berminat mendekati kecanggihan Apple Watch Series 2, jam pintar generasi baharu paling popular dunia yang turut berkongsi pentas ketika pelancaran iPhone 7 di Auditorium Bill Graham Civic, San Francisco, September lalu.

Bagi pengguna iPhone 5 atau peranti yang menyokong sistem operasi iOS 10 dan ke atas, mereka lebih cenderung memiliki aksesori menawan itu, berbanding mengeluarkan modal lebih tinggi untuk bertukar kepada iPhone 7.

Kebanyakan mereka lebih awal mengunjungi beberapa cawangan Apple di sekitar ibu kota, walaupun jam pintar itu hanya mula ditawarkan pada 21 Oktober dengan harapan mencuba sendiri unit contoh yang disediakan di sana.

Berdasarkan laman rasmi Apple, unit paling asas Apple Watch Series 2 ditawarkan bermula RM 1,649 sehinggalah lebih RM 5,699 bagi jam pintar premium dibina dengan seramik mengikut dua saiz iaitu 38 milimeter (mm) dan 42 mm.

Bagi penulis, kali ini formula yang diketengahkan Apple sebagai pelaris jam pintarnya membuahkan hasil.

Cuba hadam fakta ini, Apple Watch Series 2 dijolok sebagai peranti perenang dengan keupayaan kalis air mencapai kedalaman 50 Meter, memiliki Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) supaya pengguna boleh berlari tanpa iPhone, dan paparan yang lebih cerah dua kali ganda berbanding Siri 1.

Digabungkan pula kecanggihan pemproses dua teras berkuasa tinggi dan sistem operasi terkini watchOS 3 yang melancarkan lagi akses aplikasi luar, kecekapan menerima dan membalas makluman, serta kemudahan Apple Pay.

Maka, terhasillah peranti pintar-boleh-dipakai yang memiliki teknologi paling berkuasa mengatasi pesaingnya di pasaran setakat ini sebagai teman teknologi terbaik untuk mempromosi gaya hidup aktif dan sihat.

Ciri Kecergasan dan Kesihatan

Keupayaan Apple Watch Series 2 untuk bertahan dengan kedalaman 50 meter dalam air dimanfaatkan sebagai peranti perenang yang mampu mengira jumlah pusingan, jarak renang, dan pengiraan pembakaran kalori yang lebih tepat.

Manakala, GPS yang turut dimuatkan dalam jam pintar membantu pengguna mengira jarak dengan tepat, fasa pecutan dan kelajuan untuk aktiviti luar seperti berjalan kaki, berlari atau berbasikal tanpa perlu menyambungkannya kepada iPhone.

Kemajuan Teknologi

Generasi kedua cip S2 disokong bersama System in Package (SiP) yang dipertingkat khusus untuk Apple Watch mencetuskan daya balas lebih pantas sehingga 50 peratus digandakan lagi dengan prosesor dua teras dan GPU yang memberikan prestasi grafik jauh lebih baik.

Hasilnya, paparan dihasil lebih halus, dicerahkan dengan kemajuan skrin dua kali ganda pada 1,000 nit menjadikannya skrin paling cerah dikeluarkan Apple semata-mata untuk kemudahan pengguna melihatnya walau di bawah cahaya matahari terlalu terang.

watchOS 3

Kemajuan watchOS 3 yang dipertingkat untuk sistem operasi Jam Pintar Apple cukup mengejutkan dan dialu-alukan lebih-lebih lagi bagi pengguna yang pernah menggunakan siri 1 Apple Watch.

Ia adalah jawapan Apple bagi mempertingkatkan tindak balas serta merta Apple Watch kepada setiap arahan pengguna, melancarkan aplikasi ketiga seperti penjejak kecergasan dan jantung, membalas pesanan, pengesanan tulisan jari pada skrin jam, antara muka baharu, dan bahkan ciri 'butang panik' untuk dail pantas ke nombor kecemasan 999.

Berita Harian X