Ahad, 23 Oktober 2016 | 3:56pm

Tenis: Danial Ahmad cipta kejutan

DANIAL (tiga dari kiri) bersama hadiah yang dimenangi selepas muncul juara kategori bawah 16 tahun LTAM Junior Tour.

IPOH: Pemain bukan pilihan, Danial Ahmad Farid melakukan kejutan apabila muncul juara perseorangan kategori lelaki bawah 16 tahun Perak LTAM Junior Tour 2016 pusingan ke-8 di Ipoh sebentar tadi. 

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Swasta di Selangor itu menundukkan pilihan ke-8, Liu Hui Retallick 6-2,6-2 dalam final di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu. 

Danial mengejutkan pilihan utama kejohanan, Muhd Aiman Hamdan dari Sarawak 7-5,6-2 di separuh akhir, manakala Liu Hui Retallick mengatasi pilihan ke-3, Mohamad Irzad dari Terengganu 6-3,6-1 untuk mara ke perlawanan akhir. 

Sementara itu, pemain Perlis, Chaiyaward Phettani muncul juara lelaki kategori B-14. 

PEMAIN yang menyertai LTAM Junior Tour 2016 bergambar kenangan bersama hadiah dan sijil selepas berakhir kejohanan hari ini.

Chaiyaward mengatasi pilihan ketiga, Muhd Nur Iman dari Selangor 6-2,6-1 manakala pemain Pulau Pinang, Emily Oh Tien Yie mengungguli kategori perempuan B-16 yang dijalankan secara pusingan.  

Emily menumpaskan Iliessa Farroukh (Selangor) 6-0,6-0; Wan Nur Naili Naim (Kelantan) 6-0,6-0 dan Erica Mok Zia Yee (Melaka).  Iliessa di tempat kedua manakala Wan Nur Naili ketiga. 

Pemain tuan rumah, Hannah Yip muncul juara kategori B-14 selepas mengenepikan cabaran pilihan ke-3, Iman Syuhada (NS) 6-4, 6-0.

Sirkit terakhir itu mencatat sejarah kerana penyertaan teramai iaitu 240 peserta.

Berita Harian X