Ahad, 23 Oktober 2016 | 1:33am

Bajet 2017 realistik jana pertumbuhan

SECARA keseluruhannya, pembentangan Bajet 2017 ini saya melihat berada dalam jangkaan pasaran. Kerajaan cuba sedaya upaya memastikan kewajaran bajet ini selari dengan keperluan untuk memenuhi sasaran defisit fiskal sementara memastikan keperluan domestik dan rakyat dipenuhi.

Apa yang penting adalah persekitaran mikro dalam jangkaan pasaran dengan ekonomi negara terus berkembang pada empat hingga 4.5 peratus, begitu juga perbelanjaan yang meningkat sebanyak 3.6 peratus.

Sasaran pertumbuhan sebanyak 4 hingga 4.5 peratus bagi 2016 dan 4 hingga 5 peratus pada 2017 seperti yang diumumkan dalam bajet itu selari dengan lingkungan pasaran walaupun ramai yang menjangkakan ia lebih rendah daripada kadar jangkaan.

Jangkaan kerajaan ini selari dengan implikasi bajet dengan perbelanjaan sederhana menerusi perolehan yang dijangka meningkat sebanyak tiga peratus, begitu juga perbelanjaan yang meningkat sebanyak dua hingga tiga peratus berbanding tahun lalu.

Menerusi bajet kali ini, kerajaan berjaya memenuhi hampir kesemua jangkaan, terutama apabila menyentuh bahagian perumahan.

Peluang miliki rumah sendiri

Ini termasuk menerusi program MyBeautiful New Home, khusus kepada golongan B40, dengan

peruntukan RM200 juta yang turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri dengan permulaan 5,000 unit rumah akan dibina dengan harga RM40,000 hingga RM50,000 seunit.

Penambahan kepada kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M pada tahun hadapan, dengan kenaikan antara RM50 hingga RM200 juga dilihat mampu membantu rakyat pada saat keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Saya rasa walaupun komuniti perniagaan menjangkakan ada pemotongan cukai dalam bajet kali ini, perlu disedari bahawa kerajaan tidak berada dalam keadaan untuk melakukannya berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu.

Secara keseluruhan, perbelanjaan mampu merancakkan ekonomi dengan peningkatan peningkatan perbelanjaan bagi pembangunan, termasuk pemasangan lampu di kawasan kampung, membina dan menaik taraf jalan kampung serta jambatan, menyelenggara jalan negeri dan membina serta membaikpulih rumah usang.

Bagi pihak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, peningkatan peruntukan bagi pelan induk, terutama pengurangan cukai mampu meningkatkan pendapatan mereka. Pemotongan cukai pada kadar yang rendah yang sekali gus mampu meningkatkan pengeluaran dan pendapatan mereka.

Walaupun khabar angin menyatakan bajet untuk bidang kesihatan akan dipotong, kerajaan tidak melakukannya, malah menambah lagi peruntukan bagi beberapa bidang untuk manfaat rakyat.

Peruntukan membina dan menaik taraf hospital di beberapa negeri, RM4 bilion untuk bekalan ubat, 'consumables', vaksin dan 're-agen' kepada semua hospital dan fasiliti kesihatan kerajaan.

Langkah memberikan peruntukan kepada pihak swasta atau NGO, yang mengendalikan hospital bukan bermatlamatkan untung, mengikut kadar kos hospital kerajaan dengan pinjaman RM20 juta disediakan untuk membiayai pembelian peralatan hospital dilihat satu langkah yang positif dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Selain itu, geran sebanyak RM200,000 bagi menggalakkan pembukaan lebih banyak pusat hemodialisis swasta dilihat satu usaha membantu golongan berpendapatan rendah.

Tingkat mutu kesihatan

Kesihatan adalah bidang yang amat penting dalam pembentukan masyarakat. Langkah kerajaan mementingkan bidang ini dilihat dalam suasana dalam suasana positif dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat terjamin.

Pada masa yang sama, golongan warga emas atau pesara turut diutamakan, terutama apabila bajet diberikan bagi meningkatkan bidang kesihatan.

Secara keseluruhan, kumpulan yang berpendapatan sederhana M40 (kelompok isi rumah yang berpendapatan sekitar RM3,900 hingga RM8,300, individu bujang dan kebanyakannya suami isteri bekerja, berpendidikan dan berkemahiran tinggi) ini tidak begitu mengalami kesulitan seperti kumpulan yang lain.

Justeru, walaupun bajet kali ini tidak banyak membabitkan kumpulan ini tetapi ada juga beberapa bidang yang boleh manfaat seperti buku, telefon pintar dan surat khabar.

Kesimpulannya, mengambil kira keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya berpendapat Bajet 2017 adalah sesuatu yang realistik. Ia dianggap sebagai perbelanjaan yang sederhana dengan tiada kenaikan cukai tetapi memberi ruang untuk merancakkan perbelanjaan, sekali gus dapat menstabilkan ekonomi negara.

Berita Harian X