Sabtu, 22 Oktober 2016 | 4:35pm

BH raikan 200 guru di Johor

gn4id:16945311

JOHOR BAHRU: Akhbar BH, hari ini meraikan 200 guru dari 89 sekolah rendah dan menengah di seluruh Johor bagi menghargai sokongan mereka yang menjadi pelanggan tetap akhbar ini. 

Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh, berkata program itu adalah sebahagian daripada siri kunjungan BH merangkumi enam lokasi iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sabah dan Selangor. 

Beliau berkata, program itu juga adalah sebagai penghargaan BH kepada guru yang setia melanggan sisipan akhbar BH sejak beberapa tahun lalu. 

Kadir berkata, BH menjadi akhbar pertama menyediakan sisipan Akhbar Dalam Darjah (ADD) sejak Jun 1985. 

"Sisipan pendidikan BH iaitu Didik khusus untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Minda bagi calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Skor bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dimanfaatkan di lebih 2,000 sekolah seluruh negara.

"Pihak kami juga berharap penggunaan sisipan dan akhbar BH sebagai bahan bantu mengajar (BBM) di dalam kelas dapat membantu meningkatkan kreativiti dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Sepetang BH Bersama Guru-Guru 2016 peringkat Johor di sebuah hotel, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar; Pengurus Kanan Jabatan Jualan dan Pengedaran Akhbar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd Fikre Hashim dan Ketua Biro BH Johor, Junita Mat Rasid.

Kadir berkata, majlis itu juga diadakan sebagai menghargai jasa dan sumbangan guru dalam pembangunan pendidikan di negara ini.

"BH berharap supaya kerjasama dan sokongan daripada sekolah di negara ini dapat diteruskan lagi," katanya. 

Program berkenaan turut mendapat tajaan Syarikat Muda Osman dan Kentucky Fried Chicken (KFC).


KADIR (empat dari kanan) bersama Fadzlena (tiga dari kanan) pada Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama-sama Guru-Guru di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Berita Harian X