Sabtu, 22 Oktober 2016 | 12:04am

Spageti lemak bungkus ikut cita rasa Asia


SPAGETI Lemak Bungkus, resipi inspirasi nasi lemak klasik Malaysia. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

SEBUT saja juadah pasta, mungkin ada yang teringatkan keenakan spageti bolognese, fettuccine alfredo dan spageti aglio e olio. Buat penggemarnya, setiap hidangan mempunyai rasa berbeza mengikut cita rasa.

   Bagi mengubah stereotaip ini, jenama pasta San Remo menunjukkan cara menyediakan hidangan pasta berkhasiat dengan sedikit sentuhan Asia. Resipi dikenali, Spageti Lemak Bungkus dan diperkenalkan oleh duta San Remo yang juga juara MasterChef Celebrity Malaysia, Cef Datuk Fazley Yaakob.

   Fazley berkata, beliau banyak berkongsi resipi berkhasiat menggunakan pasta dengan menambahkan rasa Asia.

   "Resipi diperkenalkan ini sajian alternatif dan sihat, berbanding nasi atau mi kuning kerana pasa San Remo menggunakan 100 peratus gandum Durum. Malah, bebas pewarna tiruan dan pengawet serta mempunyai tekstur 'al dente' apabila dimasak," katanya ketika ditemui selepas sesi demonstrasi masakan bersempena Hari Pasta Sedunia dan sambutan ulang tahun San Remo ke-80, di Bangsar, baru-baru ini.


JUARA MasterChef Celebrity Malaysia, Cef Datuk Fazley Yaakob menunjukkan menu Spageti Lemak Bungkus. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Inspirasi nasi lemak

Untuk resipi itu, Fazley menampilkan resipi pasta yang di inspirasi dari nasi lemak klasik Malaysia. Walaupun menggunakan pasta, cara penyediaannya berbeza dan tidak menggunakan keju, susu, minyak dan sos asas tomato,

   Beliau menggantikan sumber karbohidrat iaitu beras dengan spageti San Remo dan dimakan bersama sambal pedas, bukannya sos tomato yang lazim dimakan bersama dengan hidangan spageti tradisional. Hidangan ditambah kerangupan ikan bilis dan kacang panggang.

   "Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada pencinta dan penjual nasi lemak di luar sana supaya dapat mencuba dan anda pasti terkejut dengan reaksi pembeli hidangan unik ini.

   "Apatah lagi ia sangat mudah kerana dimasak dalam masa yang pendek. Malah, sepanjang November, anda akan dapat mencuba hidangan ini di restoran Suka Sucre Bistro saya," katanya.


BAHAN-bahan Spageti Lemak Bungkus. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Spageti lemak bungkus

Bahan

250gram (g) spageti San Remo

Air secukupnya

1 tin santan cair

2 helai daun pandan, disimpulkan

Garam secukup rasa

Ikan bilis dibersihkan dan digoreng garing

1 biji timun dihiris nipis

Sambal telur

1/4 cawan minyak

3 biji telur rebus

7 biji bawang merah, dikisar

1 labu bawang besar, dikisar

2 sentimeter (sm) belacan bakar, dikisar

250g cili giling

1/2 cawan air asam jawa

1 labu bawang besar, dihiris

1 cawan ikan bilis

1 1/2 cawan air

Garam, gula secukup rasa

Cara memasak:

1. Rebus spageti dalam air mendidih bersama santan, daun pandan dan garam.

2. Untuk sambal, panaskan minyak dan goreng telur rebus sehingga keemasan.

3. Tumis bawang merah, bawang besar dan belacan yang dikisar .

4. Selepas naik bau, masukkan cili, ikan bilis dan sedikit air.

5. Kacau sehingga mendidih lalu masukkan air asam jawa dan bawang besar.

6. Apabila mendidih, masukkan telur, garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan angkat.

7. Bungkus dengan sambal telur, ikan bilis, kacang tanah dan timun mengikut kreativiti. Sedia untuk dihidang.

INFO:

Tempoh masak pasta:

* Pasta panjang

> Fettuccine - 10 minit

> Linguine - 10 minit

> Spinach Fettuccine - 10 minit

> Vermicelli - 6 minit

> Spaghetti - 13 minit

> Angel Hair - 2 minit

Pasta pendek

> Spirals - 6 minit

> Vegeroni Spirals - 6 minit

> Penne - 12 minit

> Small Shells - 10 minit

> Elbows - 8 minit

> Macaroni - 8 minit

> Bowties - 10 minit

Berita Harian X