Jumaat, 21 Oktober 2016 | 4:29pm

PKNS baik pulih 20 rumah warga miskin di Sepang


PENGURUS Besar PKNS, Noraida Mohd Yusof bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Haslin Hassan dan Pengerusi Operasi Daerah, Lembaga Zakat Selangor Daerah Sepang, Mohd Nor Fadhli Yohman hadir pada Majlis Perasmian Baik Pulih Rumah Asnaf di Kampung Hulu Teris, Sungai Pelek, Sepang, hari ini. - Foto Samadi Ahmad

SEPANG: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan RM600,000 bagi membaik pulih kediaman golongan asnaf dan miskin di sekitar daerah ini.

Pengurus Besar PKNS, Noraida Mohd Yusof, berkata pihaknya terus komited untuk membantu rakyat Selangor melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), yang dijenamakan di bawah nama KASIH PKNS iaitu singkatan kepada Kehidupan Aman Selesa Indah dan Harmoni.

Beliau memaklumkan, sebanyak 20 penerima dipilih untuk memanfaatkan bantuan itu, yang disalurkan melalui wang zakat perniagaan PKNS.

"Saya berharap bantuan ini dapat memberi sinar baharu kepada penerima terutama untuk memiliki kediaman yang lebih selesa," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Baik Pulih Rumah Asnaf di Kampung Hulu Teris, Sungai Pelek, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Haslin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar dan Pengerusi Operasi Daerah, Lembaga Zakat Selangor Daerah Sepang, Mohd Nor Fadhli Yohman.

Selain Kampung Hulu Teris, lapan kawasan lain di daerah Sepang, termasuk Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, Jenderam Hilir, Sungai Buah, Bukit Bangkong, Ulu Chuchoh, Kampung Ahmad Razali dan pekan Sepang, terbabit dalam program baik pulih rumah itu.

Kata Noraida, PKNS akan memastikan program berkenaan berjalan lancar dan disiapkan secepat mungkin supaya penduduk dapat mendiami rumah yang lebih selamat lagi selesa berbanding kediaman terdahulu.

Berita Harian X