Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:35pm

IJN cipta sejarah pasang peranti pulmonari boleh serap


DR Mohd Azhari pada sidang media di IJN, Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencipta sejarah apabila menjadi pusat jantung pertama di Asia Pasifik melakukan pembedahan mengguna teknologi Peranti Injap Saluran Pulmanori Boleh Serap ke atas tiga pesakit jantung kongenital kanak-kanak.

Peranti berkenaan yang dibuat berasaskan polimer itu dibangunkan oleh syarikat Xeltis dari Switzerland bagi membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai saluran darah atau saluran darah sempit.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, berkata peranti itu sesuai untuk pesakit berusia dua tahun hingga 22 tahun, yang mengalami masalah ketiadaan saluran darah atau saluran darah sempit.

"Peranti yang dibuat daripada polimer ini mempunyai diameter antara 16 milimeter hingga 18 milimeter. Ia disambung pada jantung dan berperanan menyalur darah dari jantung kanan ke paru-paru.

"Peranti ini boleh diserap oleh badan sebelum membantu badan membina tisu sendiri," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dr Mohd Azhari berkata, pembedahan ke atas tiga kanak-kanak itu adalah pembedahan kelima, keenam dan ketujuh dilakukan di dunia.

Dua pusat perubatan pertama di dunia melakukan pembedahan yang sama adalah di Budapest, Hungary dan Krakow, Poland, manakala IJN adalah yang pertama di Asia Pasifik.

Pembedahan ke atas tiga kanak-kanak berkenaan masing-masing mengambil masa empat jam dan diketuai oleh Pakar Kardiotorasik, Dr S Sivakumar.

Berita Harian X