Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:44am
SAHAM Asia meningkat awal dagangan hari ini. - Foto hiasan

Saham Asia meningkat, disokong harga minyak dan saham AS

SINGAPURA: Saham Asia meningkat awal dagangan hari ini, disokong pengukuhan perolehan firma Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan harga minyak ke paras tinggi dalam tempoh 15 bulan semalam.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI naik 0.2 peratus, Indeks Nikkei Jepun meningkat 0.3 peratus.

Semalaman, Indeks S&P 500 dan Indeks Dow Jones Industrial Average ditutup 0.2 peratus lebih tinggi, selepas Morgan Stanley mencatatkan keuntungan sukuan yang lebih baik daripada dijangkakan.

Dengan 70 syarikat dalam Indeks S&P 500 melaporkan perolehan mereka sejak pagi semalam, 80 peratus daripadanya adalah di luar jangkaan.

Perolehan suku ketiga kini dijangka meningkat 0.5 peratus, demikian mengikut Thomson Reuters I/B/E/S, yang mana adalah sukuan pertama yang mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh lima sukuan.

Saham tenaga juga menyumbang kepada peningkatan di Wall Street kerana harga minyak meningkat selepas kejatuhan inventori yang mengejutkan sebanyak 5.2 juta tong berbanding unjuran peningkatan 2.7 juta tong.

Ia adalah minggu keenam mencatatkan kejatuhan dalam tempoh tujuh minggu.

Harga minyak mentah AS jatuh 0.2 peratus kepada AS$51.50 pada awal dagangan Asia hari ini, selepas meningkat 2.6 peratus untuk ditutup kepada AS$51.60 pada sesi sebelumnya.

Ia pada awalnya mencecah AS$51.93, paras tinggi sejak Julai 2015.

Minyak mentah Brent meningkat 1.9 peratus kepada AS$52.67 semalam.

Dolar AS juga kukuh berbanding yen, dengan berada pada paras 103.440 yen awal dagangan hari ini selepas jatuh 0.4 peratus semalam.

Euro tidak berubah pada paras AS$1.0971, menjelang mesyuarat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) hari ini. - Reuters

Berita Harian X