Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:02am
PELAJAR kurang upaya Menagement Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari (kiri) ketika mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan di MSU Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PELAJAR kurang upaya Menagement Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari ketika mengulangkaji pelajaran di perpustakaan MSU Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PELAJAR kurang upaya Menagement Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari ketika mengulangkaji pelajaran di perpustakaan MSU Shah Alam. - Foto Saifullizan Tamadi
SITI Nor Aishah Jamhari ketika mengulangkaji pelajaran di perpustakaan MSU Shah Alam. - Foto Saifullizan Tamadi
PELAJAR kurang upaya Management Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari 20. - Foto Saifullizan Tamadi
KEMUDAHAN untuk pelajar OKU memudahkan Ahmad Afiq Ahmad Shaiful, bergerak di Kampus UiTM Perlis. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Ahmad Afiq Ahmad Shaiful, 19, menggunakan kemudahan khas untuk OKU di Kampus Cengal UITM Perlis. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Menara gading semakin mesra OKU


SHAH ALAM: Rata-rata pelajar menyimpan impian melanjutkan pelajaran ke menara gading, tidak terkecuali orang kelainan upaya (OKU) tetapi golongan itu sering dibayangi kebimbangan mengenai kemudahan diperlukan untuk membantu kelancaran proses pengajian dan kehidupan mereka di dalam kampus.

Kegelisahan sama pernah dialami insan istimewa yang menghidap cerebral palsy, Siti Nor Aishah Jamhari, 20, ketika mempertimbangkan tawaran pengajian diterima selepas memperoleh keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika itu, beliau yang menggunakan kerusi roda elektrik, khuatir memikirkan kesukaran mungkin dihadapi, terutama sekiranya menginap di kolej kediaman kerana ada pergerakan harian yang memerlukan bantuan ahli keluarga.

Bagaimanapun, kegusaran itu sedikit sebanyak terlerai berikutan kebanyakan universiti awam (UA) dan swasta kini jelas prihatin terhadap kebajikan pelajar OKU, termasuk Management & Science University (MSU) yang menjadi pilihan kemasukan Siti Nor Aishah.


SITI Nor Aishah Jamhari (kiri) ketika mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan di Kampus MSU Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

PELAJAR kurang upaya Menagement Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari 20. - Foto Saifullizan Tamadi

'Penawar' beban

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (dengan Kepujian) itu berkata, infrastruktur disediakan MSU umpama 'penawar' yang mengurangkan bebannya dalam menempuhi cabaran menuntut ilmu pengetahuan.

Antara lain, jarak berdekatan lokasi yang perlu ditujui dan penyediaan laluan kerusi roda serta prasarana bersesuaian di dalam dewan kuliah, banyak menyumbang kepada kelangsungan urusannya di dalam kampus.

"MSU turut menyediakan lif khas untuk pelajar berkerusi roda ke perpustakaan. Petugas di situ mesra dan ringan tulang membantu menguruskan proses peminjaman buku.

"Selain itu, pihak pengurusan universiti, pensyarah dan rakan pengajian amat membantu serta memahami keperluan saya, termasuk mentor program, Masjuita Mustaffa. Mereka bersikap terbuka dan sentiasa mengambil tahu akan prestasi, kehadiran kuliah serta kebajikan saya.


LALUAN khas memudahkan pelajar OKU bergerak di sekitar kampus. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Laluan khas

"Lebih membuatkan saya berasa dihargai ialah keprihatinan pensyarah menggantikan projek luar kampus dengan tugasan bersesuaian keadaan diri ini," katanya yang berulang-alik dari rumah di Sungai Buloh ke MSU setiap hari.

Sementara itu mahasiswa semester satu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (dengan Kepujian), Ahmad Afiq Ahmad Shaiful, 19, bersyukur melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau yang menerapkan konsep mesra OKU.

Beliau yang lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah akibat tumor pada saraf tunjang sejak lapan tahun lalu mengaku sikap mesra dan kesediaan pihak pengurusan universiti menerima kemasukan pelajar OKU sudah terserlah pada hari pertama dirinya menjejakkan kaki di kampus untuk pendaftaran.

"Sewaktu tiba di kampus bersama keluarga pada hari itu, ada kakitangan yang terus membawa saya ke kaunter pendaftaran. Saya melalui laluan khas yang mempercepatkan proses pendaftaran dan kemudian dibawa ke asrama di Kolej Cengal 5.


PELAJAR kurang upaya Menagement Sains and University (MSU), Siti Nor Aishah Jamhari (kiri) dibantu rakan ketika proses peminjaman buku di perpustakaan MSU Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Berasa dihargai

"Pihak pengurusan menyediakan bilik penginapan di tingkat bawah yang luas dan bersesuaian dengan keadaan fizikal saya menggunakan kerusi roda. Lebih memudahkan, kolej kediaman itu terletak berdekatan Pusat Islam dan jarak perjalanan ke bilik kuliah hanya kira-kira 15 minit, malah laluan ke mana-mana tempat di dalam kampus juga diturap rata serta tidak berbukit," katanya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, segala inisiatif berkenaan membolehkan pelajar OKU untuk turut menikmati peluang pendidikan tinggi setara golongan normal, sekali gus memburu cita-cita menggenggam ijazah idaman.

"Saya berasa cukup bertuah menjadi pelajar di universiti ini. Perhatian diberikan oleh pihak pengurusan menyebabkan saya berasa dihargai, selain bantuan diterima daripada rakan di kampus," katanya.


Prof Mohammad Shatar (kanan) menunjukkan pengangkutan percuma yang dilengkapi kemudahan tangga automatik untuk kegunaan pelajar OKU. - Foto Saifullizan Tamadi

Ubah suai prasarana

Sementara itu, pihak universiti tidak ketinggalan menitikberatkan keperluan dan kebajikan pelajar OKU, bahkan ada yang mengubah suai prasarana di dalam kampus supaya lebih mesra golongan itu.

Universiti Putra Malaysia (UPM) antara yang tidak ketinggalan memfokuskan inisiatif itu sejak tujuh tahun lalu, termasuk dari segi pembangunan infrastruktur, kolej kediaman dan perkhidmatan sosial, bagi memastikan pelajar OKU menikmati suasana pembelajaran selesa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pelajar terbabit ditempatkan di bilik penginapan yang mudah diakses dan berdekatan lokasi utama di dalam kampus, sementara kolej kediaman turut dilengkapi kemudahan lif untuk menyenangkan pergerakan mereka.

Seawal hari pendaftaran, katanya, pihak universiti menyediakan pengangkutan percuma untuk menjemput pelajar OKU baharu yang menaiki pesawat, di lapangan terbang untuk ke kampus.


TIMBALAN Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto Saifullizan Tamadi

Layanan istimewa

Beliau berkata, mereka juga diberi laluan khas tanpa perlu beratur dengan pelajar normal, sebaliknya pendaftaran diuruskan dengan bantuan kakitangan dan hanya membabitkan proses singkat.

"Golongan ini juga mendapat perkhidmatan pengangkutan percuma dilengkapi kemudahan tangga automatik untuk kerusi roda dan selesa dengan jadual perjalanan mengikut waktu dikehendaki untuk membawa mereka ke kelas atau sekitar kampus.

"Selain itu, mereka boleh menduduki peperiksaan dengan keadaan fleksibel, dikecualikan khidmat masyarakat dan mendapat layanan istimewa agar memperoleh kemudahan terbaik, berasa diterima serta bersemangat mengikuti pengajian," katanya.

Berita Harian X