Rabu, 19 Oktober 2016 | 4:47pm

Mengaku salah rakam wanita salin pakaian

AYER KEROH: Seorang lelaki dipenjara tiga hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah merakam video wanita menyalin pakaian di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah, Ahad lalu.

Cher Phoh Shien, 25, dari Segamat, Johor, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 27 tahun itu ketika menukar pakaian dengan merakam gambar menggunakan telefon bimbit di dalam bilik persalinan sebuah kedai pakaian di pusat beli-belah Dataran Pahlawan, di sini, jam 4.49 petang, 16 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Vincent Koy merayu hukuman diringankan dengan alasan sudah meminta maaf dengan mangsa pada hari kejadian, selain insaf.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga hari bermula dari tarikh tertuduh ditahan dan denda RM2,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.

Berita Harian X