Rabu, 19 Oktober 2016 | 10:12am

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah sungguhpun kenaikan semalaman di kebanyakan pasaran global dan pengukuhan harga minyak, kata pedagang.

Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.22 mata pada 1,666.35, berbanding 1,667.57 penutup Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.9 mata lebih rendah pada 1,667.25.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 161 berbanding 129, manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,153 tidak didagangkan dan 20 yang lain digantung.

Sejumlah 111.37 juta saham bertukar tangan bernilai RM55.72 juta.

Kenaikan harga minyak global tidak memberikan banyak sokongan kepada bursa saham tempatan pada sesi pembukaan berikutan pasaran menanti data ekonomi China hari ini.

AllianceDBS Research dalam satu nota berkata, mengambil kira prestasi semalam, satu peluang pembelian tinggi untuk meraih keuntungan daripada pasaran terjadi.

"Ini juga memberikan peluang baik kepada peserta yang berani mengambil risiko untuk memposisikan saham masing-masing.

"Analisis tindakan pasaran semalam secara keseluruhannya mendedahkan kuasa membeli lebih kukuh daripada tekanan jualan. Sehubungan itu, FBM KLCI berkemungkinan didagangkan di atas paras 1,667.57 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank susut satu sen kepada RM7.70, Public Bank, Petronas, IHH dan TNB masing-masing pada RM19.76, RM6.81, RM6.43 dan RM14.40.

Dalam kalangan kaunter yang jatuh, Fraser & Neave susut 20 sen kepada RM24.24, AEON Credit jatuh 12 sen kepada RM14.50, Hong Leong Financial susut lapan sen kepada RM15.62, Axiata jatuh tujuh sen kepada RM5.15, Hong Leong menguncup enam sen kepada RM13.18 dan Gamuda jatuh lima sen kepada RM4.86.

Indeks FBM EMAS jatuh 8.41 mata kepada 11,795.83, FBM EMAS Syariah susut 13.61 mata kepada 12,440.44 dan FBMT 100 jatuh 8.76 mata kepada 11,494.27, manakala FBM 70 turun 11.76 mata kepada 13,895.04.

Bagaimanapun, indeks FBM ACE mengukuh 13.40 mata kepada 5,169.32.

Indeks Perladangan menguncup 6.47 mata kepada 7,934.39, tetapi Perindustrian menokok 2.61 mata kepada 3,132.15 dan Kewangan jatuh 11.56 mata kepada 14,344.20. - BERNAMA

Berita Harian X