Selasa, 18 Oktober 2016 | 3:44pm

Pencegahan awal bendung kumbang merah palma

KUMBANG merah palma.
KUMBANG merah palma.

BATU PAHAT: Langkah pencegahan perlu diambil oleh peladang terhadap serangan serangga perosak, kumbang merah palma ke atas tanaman seperti kelapa, kurma dan kelapa sawit sebelum ia merebak dan merosakkan tanaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh, berkata walaupun serangan serangga perosak itu masih di tahap rendah, langkah pencegahan awal perlu diambil bagi membendung, mengawal dan menghapusnya daripada merosakkan tanaman.

"Sifat serangga perosak ini boleh membiak dengan begitu cepat serta mampu mengeluarkan 250 biji telur dalam satu kitaran hidup.

"Justeru, satu pendekatan baharu perlu dilaksanakan, antaranya menerusi penganjuran seminar dan kursus bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman peladang berhubung isu ini," katanya ketika merasmikan Seminar Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan kumbang merah palma, di sini, hari ini.

Program itu disertai kira-kira 200 peladang di sekitar negeri ini. Mereka turut didedahkan dengan teknik pengawalan dan pembendungan kumbang perosak itu.

Yang hadir sama, Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Putrajaya, Faridah Aini Muhammad dan Pengarah Pertanian negeri, Ahmad Kamil Mohd Yunus.

Suhaimi berkata, kemasukan pokok jenis palma secara tidak sah dari pintu sempadan menjadi antara punca utama penyebaran kumbang berkenaan, yang juga dikenali sebagai Red Palm Weevil (RPW).

"Pengeluaran kelapa sawit yang menjadi sumber ekonomi negara akan merosot jika serangga ini terus merebak ke tanaman berkenaan," katanya.

Berita Harian X