Isnin, 17 Oktober 2016 | 4:28pm
SIPUT gondang

UPM cipta racun tangani siput gondang

SERDANG: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), menghasilkan racun teknologi hijau siput gondang, Nano-Emulsion Formulation of Saponin bagi menyelamatkan tanaman padi. 

 

Produk berkenaan dihasilkan mengunakan komponen bioaktif, saponin sebagai bahan aktif utama, yang diekstrak dari Fucraea dan bahan lengai berasaskan sayuran untuk mengawal siput gondang. 

 

Ketua Penyelidik Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM Profesor Dr Rita Muhamad Awang, berkata racun itu mudah diurai menjadi bahan tidak berbahaya dan tidak kekal dalam persekitaran untuk mengakibatkan pencemaran. 

 

"Kelebihan ciptaan ini ialah ia memiliki ciri-ciri penghalang pemakanan, berkesan sebagai racun siput botanikal dan menggunakan teknologi hijau.

 

 "Tujuan utama inovasi ini adalah untuk mengurangkan pengunaan bahan kimia terhadap tumbuhan terutamanya padi, yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti kanser kulit," katanya pada sidang media formula racun botani teknologi hijau, di sini. 

 

Katanya, Fucraea mengandungi 0.79 peratus saponin berbanding empat tanaman lain yang diuji seperti sweet potato, sintok, mas cotek dan hempedu bumi.

 

Penolong penyelidik, Dr Anis Syahirah Mokhtar, berkata pengunaan racun saponin itu dapat mengurangkan kos perbelanjaan petani berbanding racun kimia. 

 

"Satu hektar kawasan tanaman padi hanya memerlukan 1.8 liter racun saponin dan perlu disembur seminggu sebelum proses penanaman padi dimulakan," katanya. 

 

Penyelidikan itu adalah satu projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) oleh Kemeneterian Pengajian Tinggi, yang mempunyai perlindungan harta intelek (paten) sejak 2015.

 

Yang turut hadir, Pengarah Taman Pertanian Universiti, UPM, Prof Dr Japar Sidik Bujang.

 

Sementara itu, Prof Japar Sidik berkata, produk berkenaan juga akan dipamerkan pada Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM kali ke-40 pada 20 hingga 26 Oktober ini. 

 

"Ekspo kali ini juga akan mengadakan jualan sebanyak 5,000 hingga 6,000 anak pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, jambu dan nangka," katanya. 

Berita Harian X