Sabtu, 15 Oktober 2016 | 7:18pm

Projek Warisan PNB dijangka siap 2020


PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR; Pembinaan projek Warisan Merdeka yang dibangunkan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) berjalan mengikut jadual dan tidak berdepan sebarang halangan untuk disiapkan pada 2020.

Pembangunan fasa Pertama projek itu membabitkan pembinaan menara ikonik setinggi 118 tingkat yang diberi nama Merdeka PNB 118.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata kerja-kerja pembinaan tapak asas untuk menara ikonik itu berjaya dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Projek Menara Warisan fasa pertama ini membabitkan pembinaan Merdeka PNB 118 bersama sebuah bangunan pusat membeli belah setinggi tujuh tingkat.

"Ia membabitkan kos kira-kira RM5 bilion untuk fasa pertama. Ada dua lagi fasa selepas ini dan anggaran kos kesemuanya adalah RM7 bilion tetapi mungkin jumlahnya akan berubah dan semakan akan dibuat," katanya ketika menyaksikan proses penuangan konkrit pembinaan untuk menara itu, di sini hari ini.

Proses penuangan konkrit itu akan berjalan selama 50 jam bermula jam 2 pagi Sabtu dan akan siap pada pagi Ahad.

Berita Harian X