Sabtu, 15 Oktober 2016 | 4:19pm

KeTTHA anjur Karnival Jom Beli Produk Hijau 


Datuk Seri S K Devamany.

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengadakan Karnival Jom Beli Produk Hijau selama tiga hari berakhir esok di pusat beli-belah Publika, di sini.

Pemangku Timbalan Menteri KeTTHA, Senator Datuk Seri S K Devamany, berkata karnival itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian menyokong pembangunan keusahawanan tempatan dalam menghasilkan produk hijau dan mesra alam.

Secara tidak langsung, katanya, ia menggalakkan pengeluar tempatan menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan mesra alam yang berdaya saing bagi memenuhi permintaan tempatan dan global.

"Kementerian menganjurkan karnival ini sejak sembilan tahun lalu dalam mewujudkan budaya hijau dan mesra alam dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Banyak bencana alam yang berlaku sekarang berpunca daripada kegiatan manusia, maka menerusi karnival seperti ini, kita mahu meningkatkan kesedaran awam mengenai produk hijau dan membudayakan penggunaannnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (Greentech Malaysia), Ahmad Hadri Haris.

Devamany berkata, KeTTHA bekerjasama dengan Greentech Malaysia dan pertubuhan alam sekitar EcoKnights bagi memberi tumpuan terhadap aspek pemasaran serta promosi rantaian bekalan antara pengeluar dan pengguna.

Sementara itu, Yasmin berkata, produk yang dipamerkan merangkumi barangan elektrik, makanan dan minuman, bahan binaan, produk isi rumah, alat tulis dan peralatan pejabat, perabot serta bahan pembungkusan yang menepati ciri-ciri mesra alam ditetapkan.

"Kita menerima lebih 300 penyertaan tetapi hanya 56 produk terpilih untuk dipamerkan kerana kami mahukan produk yang menepati keperluan masyarakat," katanya.

Berita Harian X