Khamis, 13 Oktober 2016 | 11:46am

Bot pelancong susuri Sungai Kuantan mulai akhir tahun

KUANTAN: Bot menyusuri Sungai Kuantan dari Jeti Shahbandar, di sini, bakal beroperasi semula akhir tahun ini selepas sebuah syarikat swasta tempatan berminat mewujudkan semula perkhidmatan itu.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin, berkata pihaknya sudah meminta syarikat berkenaan menyediakan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan kelulusan.

"Sebelum ini memang ada perkhidmatan bot membawa pelancong dan orang ramai menyusuri Sungai Kuantan yang diusahakan sebuah syarikat swasta lain, namun operasinya sudah berhenti lebih setahun lalu.

"Jadi, kita mengambil inisiatif ini bagi memastikan perkhidmatan seumpama ini dapat kembali beroperasi secara aktif, sekali gus menarik minat pelancong sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017)," katanya ketika ditemui selepas dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Kuantan di sini, hari ini.

Mohd Faharuddin berkata, jika diluluskan kerajaan negeri, perkhidmatan bot berkenaan menjadi tarikan kepada pelancong untuk meneroka ekopelancongan seperti Hutan Simpan Paya Bakau Kuantan di persisiran Sungai Kuantan.

Berita Harian X