Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:05am

Tidak bercanggah syariat lelaki berambut panjang

SOALAN: Bolehkah seorang lelaki menyimpan rambut panjang tanpa ada sebarang niat untuk menyerupai golongan wanita.

Jawapan: Pertama sekali perlu difahamkan bahawa perbuatan menyimpan rambut panjang tidak bercanggah dengan syariat Islam selagi tiada sebarang niat untuk menyerupai orang kafir atau wanita. Jika terdapat niat ketika berbuat demikian untuk tujuan menyerupai golongan itu, maka hukumnya boleh menjadi haram.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia akan termasuk dalam golongan yang dimaksudkan itu." (Riwayat Abu Dawud)

Oleh demikian, perbuatan saudara itu adalah dibenarkan kerana tiada sebarang niat untuk mengagungkan golongan bukan Islam atau menyerupai wanita dalam perhiasan. Namun, ingin saya nasihatkan supaya saudara mengambil berat terhadap adat setempat khususnya di Malaysia.

Jika adat setempat menganggap lelaki yang menyimpan rambut panjang sebagai satu perkara baik dan mulia, maka saudara boleh meneruskan usaha itu. Tetapi jika sebaliknya, maka saya menasihatkan saudara elakkan berbuat demikian kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan timbulnya pelbagai fitnah dan persepsi.

Sabda Nabi SAW: "Setiap perkara yang dilihat oleh orang Muslim sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah SWT. Jika ia dilihat buruk oleh mereka, maka ia juga turut buruk di sisi Allah SWT." (Riwayat Ahmad).


PERBUATAN menyimpan rambut panjang tidak bercanggah dengan syariat Islam selagi tiada sebarang niat untuk menyerupai orang kafir atau wanita. - Foto hiasan

Berita Harian X