Rabu, 12 Oktober 2016 | 7:52pm

194 perangkap kumbang merah palma dipasang

KUMBANG merah palma atau Red Palm Weevil (RPW).
KUMBANG merah palma atau Red Palm Weevil (RPW).

MELAKA: Jabatan Pertanian negeri sudah memasang sebanyak 194 perangkap feromon bagi membendung, mengawal dan menghapuskan serangan kumbang merah palma atau Red Palm Weevil (RPW).

Perangkap yang dipasang di kawasan kebun kelapa, kampung, tepi jalan dan sempadan negeri itu bermula sejak tahun 2012.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata usaha itu bertujuan melindungi industri tanaman kelapa dan palma daripada serangan haiwan perosak terbabit yang boleh menjejaskan tanaman dan memberi kesan buruk kepada negeri dan negara.

"Bagaimanapun, empat negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dikesan masih belum diserang serangga ini dan pemasangan perangkap feromon itu adalah sebagai langkah persediaan.

"Perangkap feromon yang digunakan negeri yang terjejas dengan tujuan mengurangkan populasi RPW dan kaedah ini menunjukkan impak yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan RPW sempena Hari Peladang di Kompleks Pertanian Pulau Gadong di sini, petang tadi.

Punca kemasukan RPW ke negara ini dikesan melalui pengimportan pokok palma yang tidak sah, terutama pokok kurma yang dibawa masuk melalui negara jiran.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohamed Redza Baba, Pengarah Bahagian Biosekuriti, Faridah Aini Muhammad dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Juliawaty Sulaiman.

Hasan berkata, operasi berkenaan akan diteruskan, termasuk menyebarkan dan berkongsi maklumat RPW bersama petani di seluruh negeri ini, khususnya membabitkan tanaman kelapa dan kelapa sawit.

Berita Harian X