Rabu, 12 Oktober 2016 | 10:25am

Pertandingan rakaman video tarikan Cherating sempena TMP 2017


KEINDAHAN Pantai Cherating.

KUANTAN: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan video berkaitan tarikan pantai peranginan Cherating yang dianjur selama dua bulan bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017).

Penyertaan dibuka bermula 1 Oktober lalu hingga 30 November ini, dianjurkan oleh The Legend Resort Cherating.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin, berkata orang ramai hanya perlu merakam video berdurasi dua minit berkaitan pelbagai aktiviti dan pemandangan menarik sekitar pantai peranginan Cherating dan resort berkenaan.

Rakaman itu, katanya, perlu dimuat naik ke laman sosial rasmi pusat pelancongan itu di Facebook atau Instagram, menggunakan tag 'The Legend Resort Cherating' dan #legendresortcherating sebelum pemenang dipilih berdasarkan video menarik yang mendapat 'like' terbanyak.

"Peraduan berkenaan bertujuan memperkenalkan Cherating sebagai destinasi eko pelancongan di negeri ini dengan pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pelancong, selain kemudahan yang disediakan di resort.

"Rakaman video kreatif dan unik itu yang dimuat naik ke Facebook dan Instagram juga secara tidak langsung dapat membantu menarik pelancong dari dalam dan luar negara datang bercuti ke negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Faharuddin berkata, hadiah pakej penginapan tiga hari dua malam mengikut jenis bilik disediakan bagi pemenang pertama hingga ketiga.

Untuk maklumat lanjut, layari laman www.legendresort.com.my/videocontest.

Berita Harian X