Selasa, 11 Oktober 2016 | 2:59pm

Polis tahan 11 lelaki, 2 wanita kes curi motosikal


Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 11 lelaki dan dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal di daerah ini dalam Ops Lejang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata operasi itu susulan kejayaan menumpaskan lapan sindiket curi motosikal minggu lalu.

Katanya, tiga belas suspek berusia 19 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan serbuan jam 2 hingga 4 petang semalam di beberapa rumah sekitar daerah ini, termasuk di Tasek Gelugor selain Padang Serai, Kedah, berdasarkan maklumat orang awam.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut merampas lima motosikal, peralatan seperti spanar dan pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan itu serta memeras ugut, selain pisau lipat, beg sandang serta beberapa keping kad ATM.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X