Isnin, 10 Oktober 2016 | 11:32am
FOTO hiasan

268 juta kanak-kanak gemuk menjelang 2025 - Kajian

WASHINGTON: Menurut kajian global, penyelidik menjangkakan kira-kira 268 juta kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun mungkin akan mengalami obesiti menjelang 2025.

Jumlah membimbangkan ini diperoleh dengan andaian tiada dasar campur tangan yang terbukti berkesan mengubah tren semasa.

Serentak dengan Hari Obesiti Sedunia tahun ini yang diraikan pada 11 Oktober, penyelidik juga mengeluarkan data menjangkakan keadaan berkaitan obesiti akan meningkat dalam kalangan kanak-kanak.

Pada 2025, sehingga 12 juta kanak-kanak akan menghidap gangguan toleransi glukosa, 4 juta akan mengalami diabetes Jenis 2, 27 juta akan menghidap tekanan darah tinggi dan 38 juta akan menghidap steatosis hepatik atau lemak dalam hati.

Penulis bersama kajian, Tim Lobstein, berkata ramalan itu umpama sebagai peringatan untuk pengurus perkhidmatan kesihatan dan profesional kesihatan yang akan perlu berdepan dengan peningkatan masalah kesihatan berikutan wabak obesiti.

"Dari satu segi, kita berharap ramalan ini adalah salah," katanya.

Jelas Lobstein, mereka menjangkakan tren semasa berterusan dan menggesa kerajaan mengambil langkah drastik untuk mengurangkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan mencapai sasaran yang dipersetujui untuk menurunkan obesiti kanak-kanak ke tahap 2010 sebelum 2025," katanya. - Agensi

Berita Harian X