Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:04am
MOHAMAD Jusoh memeriksa koleksi basikal antik yang dikumpul di rumah yang dijadikan galeri muzium sejak zaman persekolahan di Kampung Mata Ayer, Perlis. - Foto Hafizudin Mohd Safar
PERANGKAP jebak puyuh tradisional dan mesin taip manual milik Mohamad Jusoh. - Foto Hafizudin Mohd Safar
MOHAMAD Jusoh menunjukkan senaskah majalah berbahasa Inggeris yang dikeluarkan pada tahun 1742. - Foto Hafizudin Mohd Safar
BEKAS tembaga dikenali sebagai batil. - Foto Hafizudin Mohd Safar
KOLEKSI piring hitam milik Mohamad Jusoh. - Foto Hafizudin Mohd Safar
ANTARA barangan antik dikumpul sejak zaman persekolahan milik Mohamad Jusoh ialah koleksi jam tangan, kamera dan alat pengokot. - Foto Hafizudin Mohd Safar
ALAT membuat laksa buatan tembaga serta telefon lama. - Foto Hafizudin Mohd Safar
MOHAMAD Jusoh menunjukkan sebuah lampu basikal menggunakan gas daripada karbaid. - Foto Hafizudin Mohd Safar
RUMAH kayu milik pembesar istana ini sudah berusia ratusan tahun. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Beli rumah kayu lama, pamer koleksi antik


ARAU: Tetamu yang melangkah masuk ke rumah kayu milik Mohamad Jusoh Md Isa di Kampung Pokok Petai dekat Mata Ayer di sini, pasti sependapat yang mereka umpama melawat sebuah muzium.

Bermula daripada gramafon, seterika lama, kalam papan batu, beca, geluk, kosa, al-Quran kecil dan rekod silinder, kediaman pensyarah Kolej Matrikulasi Perlis itu, turut menyimpan pelbagai lagi peralatan antik meliputi alat muzik, perkakasan memasak, kamera, buku dan pelbagai lagi.

Meskipun setiap satunya mempunyai nilai tersendiri, namun Mohamad Jusoh tidak lokek membenarkan pengunjung menyentuh dan membelek setiap koleksi antiknya, sambil beliau menerangkan secara terperinci kisah di sebalik barangan itu.

Ia jelas berbeza dengan pameran di muzium, yang rata-rata bahan pameran ditempatkan dalam almari kaca dan pengunjung dilarang menyentuhnya.

Mohamad Jusoh aktif mengumpul barangan antik sejak kira-kira 10 tahun lalu, selepas merancang menempatkan sebuah rumah kayu tradisional di hadapan kediamannya.

"Rumah kayu milik pembesar istana itu sudah berusia ratusan tahun, cukup istimewa kerana dibina tanpa menggunakan paku dan boleh dibuka serta dipasang semula.


MOHAMAD Jusoh membeli rumah kayu lama ini pada harga RM3,000 sahaja. - Foto Hafizudin Mohd Safar

ANTARA seni kerawang yang terdapat pada rumah kayu lama milik Mohamad Jusoh. - Foto Hafizudin Mohd Safar

"Saya membeli rumah kayu ini pada harga RM3,000 sahaja. Untuk membuka keseluruhannya rumah ini mengambil masa seminggu, tetapi untuk memasangnya semula saya ambil masa lima tahun. 

"Sejak siap rumah ini pada 2008, saya mula aktif mengumpul barangan antik kerana mempunyai tempat untuk menempatkan koleksi untuk dipamerkan," katanya.

Mohamad Jusoh berkata, hobi mengumpul barangan antik ini bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi, dengan barangan pertama dikumpul adalah syiling lama.

"Seingat saya, barangan pertama yang saya beli sebagai koleksi adalah stapler atau pengokot lama yang dibeli di pasar karat Ipoh berharga RM1 pada 1982.

"Kebanyakan koleksi saya dibeli menerusi aplikasi atas talian terutama melalui eBay, selain beberapa tempat dalam negara. Namun, ada juga barangan diberi rakan-rakan yang menghargai hobi saya mengumpul koleksi barangan antik ini," katanya.

Bapa kepada empat anak lelaki memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk membersihkan semua koleksi peribadinya.

"Saya bersyukur kerana isteri, Fariza Idris, 44, memahami serta menyokong hobi ini dengan menemani setiap keluar mencari koleksi terbaharu di lokasi tertentu," katanya.


MOHAMAD Jusoh (kanan) dan isterinya Fariza melihat koleksi alat berkaitan penanaman dan penuaian tanaman padi di rumah mereka yang dijadikan galeri muzium di Kampung Mata Ayer, Perlis. - Foto Hafizudin Mohd Safar

MOHAMAD Jusoh memulas engkol pada sebuah gramafon untuk memainkan lagu daripada piring hitam. - Foto Hafizudin Mohd Safar

MOHAMAD Jusoh menunjukkan alat pengokot lama yang dibeli pada 1982 berharga RM1 ketika zaman remajanya di Ipoh, Perak. - Foto Hafizudin Mohd Safar

INFO:

  • Koleksi paling antik dimiliki ialah penghidup api roman dihasilkan pada 1200 masihi.
  • Gramofon adalah barangan antik paling dibelinya pada harga RM2,900.
  • Lokasi pencarian barangan lama: Kampung Berjaya, Kedah; Lorong Kulit, Pulau Pinang dan Pasar Karat Ipoh, Perak.
Berita Harian X