Ahad, 9 Oktober 2016 | 3:21pm

Penganggur ditemui mati di pintu masuk pusat beli-belah


LOKASI kejadian seorang penganggur ditemui mati berhampiran pintu masuk tempat letak kereta pusat beli-belah The Gardens malam tadi.

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari pusat beli-belah The Gardens di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditemui terbaring di pintu masuk Zon U pusat beli belah itu oleh orang awam pada jam 11.29 malam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu ke pusat membeli-belah bersama abangnya dan meletakkan kenderaan di tingkat empat.

Beliau berkata, ketika kejadian, abangnya tiada bersama kerana menyelesaikan urusan membayar bil telefon manakala mangsa memaklumkan mahu membeli barang.

"Bagaimanapun, abang mangsa yang menunggu di dalam kereta selepas selesai urusan dikatakan menerima SMS daripada adiknya memberitahu mahu membunuh diri serta mengucapkan selamat tinggal, sebelum mayatnya ditemui tidak lama kemudian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sharul Othman berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun berdasarkan maklumat, pemuda itu didakwa gemar berhalusinasi dan dikatakan masih dalam proses rawatan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Berita Harian X