Sabtu, 8 Oktober 2016 | 7:00am
NAIB Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris​. - Foto Ihsan PEMBACA

Dr Aini terima anugerah iktiraf kajian veterinar


AINI (dua dari kanan) dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti UPM, Prof Madya Dr Hawa ZE Jaafar (kanan) melawat gerai jualan peserta pada Majlis Anugerah Usahawan Cabaran Keusahawanan Dagang 2016 dan Cabaran Integrasi Keusahawanan Ekonomi Wanita di Serdang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Pengetahuan meluas dalam bidang perubatan avian bukan sahaja mencatatkan nama Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, antara saintis terkemuka negara tetapi juga barisan penyelidik disegani.

Justeru, selayaknya beliau dilantik dan diberi kepercayaan mengemudi UPM, sekali gus meletakkan universiti awam itu sebagai landasan tepat meningkatkan kecemerlangan serta memajukannya ke peringkat global.

Dr Aini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UPM, awal tahun ini. Sebelum menggalas tanggungjawab itu, beliau lebih dikenali sebagai saintis yang banyak membuat penyelidikan dalam dunia veterinar.

Beliau berkata, minat mendalam dalam bidang itu menjadi pendorong melakukan lebih banyak penyelidikan, termasuk berkaitan pengesanan dan pengawalan penyakit avian.

"Hasil kajian saya mengenai vaksin penyakit Newcastle (NDN4-UPM) dan vaksin kultur tisu fowl pox berjaya dikomersialkan di sembilan negara.

"Saya juga berjaya menghasilkan kit diagnosis pantas mengesan penyakit avian seperti influenza, penyakit zoonotik, Newcastle, bursa berjangkit dan Mycoplasmosis," katanya ketika ditemui di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Aini berkata, pencapaian berkenaan melayakkannya merangkul Anugerah Akademik Negara (AAN), pada 2010 bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk bagi vaksin penyakit Newcastle.


NAIB Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris menunjukkan vaksin hasil penyelidikan beliau yang berjaya menembusi lebih sepuloh negara - Foto Owee Ah Chun

Kejayaan beri semangat

Katanya, kejayaan dalam beberapa kajian itu memberi semangat untuk meneruskan kajian lain dalam bidang terbabit bagi membantu mengatasi isu penyakit membabitkan haiwan ternakan.

"Vaksin ini, antara produk pertama dikomersialkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan antara contoh pertama pemindahan teknologi dihasilkan di universiti ke industri.

"Penemuan vaksin ini juga banyak diedarkan kepada penternak ayam.

"Saya bersama pasukan penyelidikan masih turun padang membantu mereka mengatasi isu penyakit ternakan," katanya yang juga penerima anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia, 2013.

Dr Aini berkata, pasukannya sedang membangunkan vaksin halal dengan menggunakan beberapa pembawa berbeza dalam bidang bioreaktor dan pembangunan vaksin generasi baharu.

"Sebagai ketua program penyelidikan perubatan avian, saya juga memikul tugas sebagai Penyelaras Pusat Kecemerlangan Kebangsaan Industri Burung Walit yang bertanggungjawab menentukan hala tuju penyelidikan berkaitan burung walit,"katanya.

Dalam kesibukan tugasnya sebagai Naib Canselor, Prof Dr Aini bertanggungjawab dalam penggubalan dan pemantapan kurikulum program Doktor Perubatan Veterinar serta menjadi peneraju utama bagi pencapaian Sijil ISO pertama UPM untuk skop prasiswazah dan siswazah.

Beliau komited menerapkan pendekatan berkonsepkan ihsan kepada warga universiti dalam melonjakkan kecemerlangan pada tahap lebih tinggi.

Konsep ihsan merangkumi setiap amalan baik dan cekap untuk kesempurnaan yang membawa kepada kualiti kecemerlangan.

"Konsep ihsan istimewa dan berbeza kerana ia membabitkan pelaksanaan kerja serta nilai utama universiti yang menjadi tonggak kepada kecemerlangan UPM.

"Konteks ini didatangkan dengan empat nilai utama iaitu kecemerlangan, kepelbagaian, kelestarian dan integriti. Ini akan membawa kepada kejayaan diri dan universiti.

Suntik pemikiran baharu

"Ia akan menyuntik pemikiran baharu dalam budaya kerja warga universiti untuk bersama-sama melonjakkan kecemerlangan UPM sebagai institusi ilmuwan tersohor hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Tiga perkara penekanan beliau ialah berkaitan pengajaran, pendidikan dan perkhidmatan profesional.

"Pengajaran berkaitan kualiti pendidikan disampaikan kepada pelajar, kurikulum dan sistem bagus.

"Perkhidmatan membabitkan kemampuan ahli akademik dikenali ke peringkat antarabangsa supaya dihargai dalam bidang diceburi," katanya.

Naib Canselor kelapan itu berkata, usaha merealisasikan agenda dan inisiatif itu ternyata bukan mudah kerana memerlukan komitmen dan iltizam yang tinggi.

Biodata

  • Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris
  • Tarikh lahir: 23 Mac 1953
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Umur: 63 tahun
  • Penerima Anugerah Inovasi Negara 2012
  • Diserap menjadi ahli ulung Dewan Penghormatan (Inaugural Member Hall of Honour) pada 2013
  • Anugerah pencapaian paling berprestij dalam penyelidikan saintifik, latihan dan pendidikan kesihatan avian World Veterinary Poultry Association
  • Dipilih sebagai Felo Islamic World of Academy of Sciences (FIAS), 2011
  • Presiden Pengasas, World Veterinary Poultry Association - Cawangan Malaysia
  • Aktif dalam penerbitan dan menerbitkan lebih 400 artikel

Berita Harian X