Khamis, 6 Oktober 2016 | 10:57am

EPFL tolak cadangan UEFA berkaitan Liga Juara-Juara


PENGERUSI Liga Bola Sepak Profesional Eropah (EPFL), Lars-Christer Olsson. - Foto Reuters

LONDON: Sebuah organisasi yang mewakili liga domestik Eropah enggan menerima cadangan perubahan pada saingan Liga Juara-Juara yang bakal menyaksikan empat tempat terjamin bagi negara terkuat.

Pada Ogos lalu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan beberapa siri perubahan pada pertandingan kelab utama itu bermula pada 2018, termasuk jaminan tempat buat empat kelab terbaik bagi setiap persatuan bola sepak yang sekali gus menyaksikan hanya 16 tempat tinggal bagi kelab lain.

Badan induk bola sepak Eropah itu juga merancang untuk memberi tempat kepada pemenang kejuaraan tanpa mengira prestasi semasa mereka.

Pengerusi Liga Bola Sepak Profesional Eropah (EPFL), Lars-Christer Olsson ketika mengulas mengenainya berkata, hampir semua pihak berkaitan di seluruh Eropah menentang cadangan itu termasuk England dan Sepanyol.

Katanya, ini kerana ada kebimbangan cadangan itu adalah langkah pertama bagi menjadikan Liga Juara-Juara hanya untuk kelab elit terpilih di Eropah.

"Perjanjian mengenainya belum selesai," kata Olsson pada Sidang Kemuncak Pemimpin Dalam Perniagaan Sukan di Stamford Bridge, Chelsea.

"Presiden baharu UEFA (Slovenian Aleksander Ceferin), berkata dia akan mengkajinya semula dan saya yakin kita akan dapat mengubahnya,".

"Mereka menyediakan semua syarat bagi mewujudkan liga tertutup sendiri pada masa depan - ianya adalah lebih berbahaya berbanding cadangan perubahan sebelum ini,".

Olsson juga menolak tanggapan betapa organisasi pimpinannya kekurangan kuasa untuk mempengaruhi UEFA atau tidak mampu bersaing dengan kelab-kelab besar.

Katanya, sebarang perkembangan baharu akan dapat diketahui selepas mesyuarat pada 21 Oktober ini. - REUTERS

Berita Harian X