Rabu, 5 Oktober 2016 | 6:29am

Jangan abai akidah untuk dunia

Hukum halal haram bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan peradaban yang tinggi nilainya. Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan halal haram tanda cinta Allah kepada manusia.

Islam terbit daripada dua perkataan iaitu 'aslama' yang bermaksud menyerah diri dan 'salam'. Manusia beragama Islam akan terus taat pada perintah Allah SWT dan menyerahkan diri kepada-Nya, sesuai dengan maksud Islam itu agama selamat untuk setiap individu Muslim.

Kalimah syahadah yang diucapkan menyaksikan bahawa pendirian umat Islam itu teguh dan patuh pada ALLAH SWT mengikut syariat Islam.

Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan tajuk 'Halal haram tanda cinta Allah pada manusia' berkata, Islam agama yang membimbing kepada cara hidup betul (way of life) dari setiap aspek kehidupan. Malah ia memberi mesej pengisian meliputi hukum, patuh, taat dan tunduk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Ma'idah, ayat 3)

Istilah halal merujuk kepada perkataan 'halla' bermaksud merungkai dan melepaskan. Kalimah haram merujuk perkataan (mamnu') yang membawa maksud hormat. Hukum halal dan haram dalam Islam bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan sebuah peradaban yang tinggi nilainya.

Agama Islam mempunyai sistem dan rukun tertentu berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, Islam agama lengkap dan menyeluruh serta sesuai untuk kehidupan manusia tidak mengira bangsa mahupun keturunan walau di tempat berbeza.

Menjaga nasab, keturunan

Hukum halal dan haram turut mempengaruhi penjagaan harta benda. Contohnya, Allah SWT menjaga kehormatan manusia melalui harta benda mereka dengan mengharamkan amalan riba dalam sistem jual beli supaya harta tidak mudah diambil oleh orang lain tanpa mengikut syarat tertentu.

Selain itu, kepentingan halal dan haram juga untuk menjaga nasab dan keturunan supaya manusia tidak terjebak perlakuan zina yang menjerumuskan kepada kehinaan dan mengundang balasan dosa daripada Allah SWT. Apabila kaedah halal dan haram diutamakan, maka akal manusia turut terpelihara daripada perkara merosakkan kewarasan fikiran seperti minuman keras.

Umat Islam tidak perlu risau dan terbeban dengan istilah haram kerana Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk umat-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dialah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah rahmat-Nya kepada orang yang beriman (di dunia dan akhirat)." (Surah al-Ahzab, ayat 43)

Oleh itu, perkara buruk yang berlaku kepada manusia seperti fitnah, mengumpat dan menjatuhkan maruah sesama Muslim amat ditegah dalam agama Islam untuk menjaga kehormatan sesama insan.

Kasih sayang Allah SWT kepada umatnya amat jelas dan nyata tanpa mengira harta, pangkat atau darjat. Justeru, umat Islam perlu terus istiqamah bertakwa kepada Allah SWT dengan sesungguhnya serta sentiasa bermuhasabah diri.

Tidak gadai akidah kerana habuan dunia

Mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup menggadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Allah SWT mengingatkan umat Islam dalam firman yang bermaksud: "Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)." (Surah al-An'am, ayat 160)

Penulis adalah Penyampai dan Penerbit Rancangan IKIMfm

Berita Harian X