Selasa, 4 Oktober 2016 | 12:08am
ANTARA peralatan yang digunakan kumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang diketuai Dr Fatmawati Adam untuk menghasilkan kapsul ubat menggunakan ekstrak rumpai laut. - Foto Shahrinnahar Latib
DR FATMAWATI (dua dari kanan) bersama tiga pembantunya menunjukkan rumpai laut dan kapsul ubat yang sudah disiapkan mereka. Foto Shahrinnahar Latib

Rumpai laut Sabah boleh dijadikan kapsul ubat


KUANTAN: Rasa tanggungjawab terhadap fardu kifayah menyediakan sumber perubatan mematuhi syariat Islam, mendorong seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan sarung kapsul halal daripada rumpai laut.

Dr Fatmawati Adam dibantu empat pelajarnya, Siti Hana Abu Bakar; Jurida Jamaludin; Shabirah Ezan dan Mohd Aiman Hamdan, menghasilkan inovasi berkenaan menerusi penyelidikan yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Fatmawati berkata, inovasi itu bermula selepas menghadiri seminar produk farmasi halal pada 2011, yang antara lain menyatakan banyak produk seumpama itu sukar mendapat pengiktirafan halal kerana sumber bahan mentah perlu dijelaskan dengan teliti, terutamanya membabitkan penggunaan kapsul.

Katanya, beliau kemudian memulakan proses mencari bahan alternatif tempatan bagi menggantikan gelatin bersumber haiwan yang kebanyakannya bersumberkan haiwan terlarang seperti khinzir atau lembu tetapi tidak disembelih mengikut prinsip Islam.

"Selepas melakukan kajian, saya dapati ekstrak rumpai laut yang boleh didapati dengan mudah di perairan Sabah, boleh diguna bagi menghasilkan sarung kapsul, menerusi campuran dengan bahan kimia yang halal sumbernya.


DR FATMAWATI menunjukkan kapsul ubat yang dihasilkan daripada esktrak rumpai laut di UMP Kampus Gambang. - Foto Shahrinnahar Latib

"Dalam projek ini, kami membangunkan proses kapsul tumbuhan dengan menggunakan teknologi pemprosesan sama dengan proses sedia ada, ia dibangunkan supaya mematuhi spesifikasi atau keperluan industri seperti kekuatan regangan, kebolehlarutan serta selamat dan tidak bersifat toksik kepada pengguna," katanya ketika ditemui BH di UMP Kampus Gambang, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fatmawati mengakui, sarung kapsul dibangunkan mereka itu bukan yang pertama dihasilkan daripada sumber tumbuhan tetapi mempunyai kelebihan tersendiri terutama mudah diproses dan lebih murah.

"Ada sarung kapsul diperbuat daripada sumber pokok pine tetapi proses mengambil seratnya sukar berbanding ekstrak rumpai laut seperti yang kami lakukan selain membolehkan harga memprosesnya lebih rendah.

 

"Dianggarkan sarung kapsul diperbuat daripada esktrak rumpai laut itu boleh dijual separuh harga berbanding produk daripada tumbuhan lain," katanya.

Beliau berharap kajian itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya industri farmaseutikal negara dalam menyediakan produk halal dan tidak diragui statusnya oleh pengguna Islam serta membangunkan ekonomi penduduk setempat.


DR FATMAWATI (kanan) bersama dua pembantunya sedang menyediakan kapsul ubat menggunakan ekstrak rumpai laut. Foto Shahrinnahar Latib

"Permintaan produk kapsul ubat halal terutamanya yang diperbuat daripada tumbuhan adalah besar iaitu meliputi 1.6 bilion populasi umat Islam dan 200 juta pengamal kehidupan vegetarian di seluruh dunia.

 

"Ia juga dapat meningkatkan pendapatan ekonomi penduduk setempat yang mengusahakan penanaman rumpai laut kerana permintaannya juga meningkat," katanya.

 

Fatmawati berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada kelestarian penanaman rumpai laut supaya bekalannya sentiasa mencukupi bagi menyokong hiliran kapsul halal yang berpotensi besar.

 

"Kerajaan juga diminta meningkatkan dana bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi proses kapsul tumbuhan yang dihasilkan kepada pengeluaran produk lebih optimum," katanya.


PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee. - Foto Osman Adnan

INFO

  • Tajuk kajian: Kapsul ubat tumbuhan daripada rumpai laut
  • Penyelidikan bermula 2011 dan dijangka siap sepenuhnya penghujung 2016
  • Penyelidikan mendapat geran RM200,000 daripada Dana Sains Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
  • Kumpulan penyelidik diketuai Dr Fatmawati Adam memenangi Pingat Emas pada Pameran Kreativiti, Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (CITREX) 2015
Berita Harian X