Isnin, 3 Oktober 2016 | 6:25am

Hijrah membina negara proses sepanjang zaman


KERATAN akhbar BHAhad.

Menyingkap sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, meninggalkan negara dan keluarga tersayang. Allah SWT berfirman merakamkan hal ini mafhumnya: "Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah." (Surah al-Hajj : 40).

Penghijrahan Rasulullah SAW bukan setakat berpindah tempat tetapi menghijrahkan keadaan umat yang lemah kepada kuat, tertindas kepada bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan terbatas kepada seluruh masyarakat.

Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat. Hijrah bukan setakat mengangkat prestasi individu tetapi turut merangkumi hal ehwal kemasyarakatan dan negara.

Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara. Pembinaan negara Madinah bukan secara kekerasan dan penaklukan. Baginda SAW melakukan penjenamaan terhadap negeri yang menjadi asas pembentukan negara iaitu Yathrib kepada al-Madinah al-Munawwarah, menunjukkan kedaulatan diiktiraf semua pihak.

Madinah untuk semua

Rasulullah SAW memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Muhajrin, Aus dan Khazraj serta Arab Wathani diiktiraf sebagai warganegara. Semua pihak dilindungi undang-undang.

Selepas itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dalam perjanjian Piagam Madinah. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain. Rasulullah SAW dan sahabat RA memainkan peranan membentuk masyarakat baru, membina kematangan politik dan menyampaikan dakwah Islam ke pelusuk dunia.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi." (Riwayat Bukhari).

Menurut Muhammad Hamidullah dalam buku 'The First Written Constitution in the World' (3rd.ed), ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, daripada 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam kombinasi Ansar bersama Muhajirin Makkah hanya sekitar ratusan orang. Hampir 50 peratus penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi terbahagi kepada 10 puak, sementara penduduk keturunan Arab, 12 kabilah.

Keadaan penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan serta mempunyai struktur politik tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya 'Globalization and The Underdeveloped Muslim World: A Case Study of Pakistan' dalam bab 'Islam Encountering Globalization', (Ed. Ali Mohammad) antara tindakan awal Rasulullah SAW di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.

Bancian selain pecahan jantina, kaum dan usia, merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Maklumat tepat profil penduduk adalah komponen penting merangka formula pemerintahan dan memastikan program diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi serta taburan penduduk.

Diriwayatkan Rasulullah SAW menggali telaga baharu di sekitar Madinah sehingga air bersih mencukupi. Baginda membawa gaya hidup baharu hingga Madinah diriwayatkan menjadi bandar selamat, menghidupkan budaya al-Muaakhah, iaitu persaudaraan Muhajirin dan Ansar, menggalakkan pinjaman tanpa faedah (qardhul hasan) dan infaq fi sabilillah yang mendasari sosioekonomi Madinah untuk mengukuh kestabilan bermasyarakat.

Pembentukan masyarakat memberi atau giving society ini merubah dasar kependudukan Madinah. Realiti baharu ini dikunci melalui pengharaman riba yang antara punca utama eksploitasi dalam masyarakat. Walau pun demikian, golongan Muhajirin tidak ambil kesempatan di atas hubungan ini, malahan berusaha membina ekonomi sendiri melalui sektor perniagaan. Inilah kebijaksanaan strategi pembasmian kemiskinan yang amat signifikan dalam menghayati peristiwa hijrah yang seharusnya menjadi inspirasi dalam melakukan transformasi ummah.

Dalam amalan politik, kerajaan tidak amal politik menindas bukan Islam, malahan ramai wakil rakyat pelbagai kaum terbabit dalam pembentukan dasar negara. Dalam ekonomi negara, semua kaum menikmatinya dan tidak merampas daripada kaum lain.

Tak amal penindasan

Kerajaan komited kepada prinsip Perlembagaan serta menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga beri kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan negara. Prinsip kesederhanaan turut diketengahkan di peringkat antarabangsa yang menjadi landasan menghapuskan prasangka dan prejudis Barat terhadap Islam yang dituduh menganjurkan keganasan.

Hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar pengkisahan setiap kali Awal Muharam. Adalah penting untuk ambil pengajaran sebagai panduan menyelusuri sirah Nabi SAW membina negara. Tuntutan hijrah hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup berteraskan ajaran Islam. Hijrah bersandarkan keimanan dan ketakwaan mampu ubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah.

Allah SWT berfirman mafhumnya: "Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; sesiapa yang keluar dari rumahnya berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati, sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisa':100)

Hijrah suatu keperluan. Ia berlaku sepanjang zaman.

Penulis adalah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Berita Harian X