Ahad, 2 Oktober 2016 | 6:35am

UMP galak budaya menderma untuk ilmu

DALAM usaha melonjakkan mutu pendidikan tinggi negara yang pada masa sama memenuhi keperluan berdikari menjana pendapatan sendiri, universiti terus berinovasi dalam mendapatkan pembiayaan termasuk endowmen, tabung dan program pengkomersialan. Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh turut meminta universiti awam (UA) mempergiat dana wakaf sebagai dana universiti.

Dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP 2016-2020) juga menyentuh Kelestarian Kewangan, antara Bidang Keberhasilan Utama Universiti dan Lonjakan Strategik kritikal untuk universiti. Pihak pengurusan melihat sumber kewangan dan kekayaan baharu perlu diteroka sendiri bagi manfaat kelestariannya dalam jangka panjang. Serentak itu budaya sikap, pengurusan perbelanjaan berhemat dengan dasar penjimatan terus dilaksanakan.

Endowmen sejak sekian lama adalah dana kewangan dan rizab aset yang diagregasikan sesebuah universiti khususnya universiti ternama seperti Harvard, Oxford dan Yale untuk menyokong dan membiayai misi pendidikannya secara konsisten daripada penyumbang individu dan korporat.

Dengan kata lain, tabung endowmen 'mengumpul dana' melalui sumbangan alumni, wakaf korporat, keuntungan pelaburan strategik IPT dan derma orang kaya, 'mengembalikan wang' dalam bentuk biasiswa dan bantuan pelajar dan membantu menjayakan aktiviti universiti. MyGift sebagai medium pengantara diusahakan universiti dengan sasaran tertentu.

Teroka prospek endowmen

Walaupun kita sedar perjalanan mencapai nilai endowmen disasarkan RM40 juta tidak mampu direalisasikan dalam tempoh singkat, platform ampuh perlu diletakkan lebih awal tatkala universiti ini masih berada dalam fasa perkembangannya. Sejak diperkenalkan setahun lalu, UMP memulakan inisiatif MyGift secara rasmi.

Malah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut meminta semua UA meneroka prospek endowmen seoptimum mungkin bagi mengurangkan kebergantungan kewangan mereka kepada sumber kerajaan semata-mata.

Inisiatif MyGift harus juga lestari dalam kerangka strategik terancang dan terarah. Usaha proaktif mengumpul sumbangan pelbagai sumber untuk dimanfaatkan bagi tujuan tajaan pengajian dan peningkatan fasiliti serta kualiti akademik di UMP.

Sumbangan MyGift terhadap kebajikan mahasiswa

Program MyGift diperkenalkan sebagai inisiatif saluran sumbangan endowmen universiti bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan memerlukan. Sepuluh jenis endowmen atau tabungan yang dilaksanakan adalah Endowmen Kursi, Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Makmal/Kemudahan dan Endowmen Kecemerlangan. Lain-lain tabungan adalah Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf, Tabung Komuniti dan Tabung Prasarana.

Ia diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar, terutama industri mahupun syarikat untuk menyumbang kepada tabung endowmen universiti. Buat kali pertama Lembaga Pemegang Amanah MyGift bersetuju meluluskan skim tajaan biasiswa RM400,000 untuk mahasiswa baharu dari keluarga miskin tetapi memiliki keputusan cemerlang untuk meneruskan pengajian di UMP.

Melalui inisiatif MyGift juga, skim bantuan insentif pendidikan RM1,000 diluluskan untuk manfaat 10 mahasiswa baharu yang menghadapi masalah kewangan. Cabaran universiti adalah mencari dermawan dalam kalangan orang perseorangan, agensi awam dan badan korporat untuk tampil menghulur sumbangan. Malah usaha pada peringkat jabatan dan fakulti menyaksikan kesungguhan warganya apabila mengumpul RM1.8 juta bagi manfaat pelajar.

Inisiatif MyGift ini menampakkan hasil dengan sinergi semua pihak dan komitmen dermawan. UMP yakin program lain yang dimulakan untuk kebajikan mahasiswa akan dapat dilestarikan termasuk Food for All, antara inisiatif Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan pemberian makanan percuma untuk mahasiswa UMP yang memerlukan dan tidak berkemampuan. Inisiatif ini dapat menangani isu mahasiswa berlapar.

Program Kongsi Rezeki oleh JHEPA dengan kerjasama kafeteria universiti menyediakan makanan untuk pelajar khususnya yang ada masalah kewangan kritikal dan layak menerima manfaat ini. Begitu juga Inisiatif Sarapan Percuma Perwakilan Kolej Kediaman (PEKA). Inisiatif Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) pula membantu keluarga mahasiswa dan komuniti kurang mampu, termasuk ibu tunggal dan keluarga susah.

UMP juga menganjurkan Kejohanan Golf Amal pada 3 September di Glenmarie Golf & Country Club, Selangor dan 17 September lalu di Mahkota Golf & Country Club Pahang bagi mengumpul dana menerusi program sukan sambil beramal. Hasilnya lebih RM500,000 dikumpulkan bagi kedua-dua kejohanan. Begitu juga program larian amal UMP Splash Run '16, RM10,000 hasil kutipan larian ini disumbangkan untuk kebajikan pelajar UMP.

Sokong budaya menderma

Program MyGift ini adalah kemudahan kepada masyarakat, warga kampus dan alumni serta pihak luar, terutama daripada industri mahupun syarikat untuk menyokong budaya menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan. Dengan komitmen pelbagai pihak, MyGift bukan sahaja berupaya menambah nilai kelestarian kewangan universiti ini, malah boleh diteladani pada peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Majlis pelancaran MyGift UMP dan pengurniaan biasiswa UMP bakal disempurnakan Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.

Berita Harian X