Rabu, 26 November 2014 | 1:37pm
BlackBerry Passport

BlackBerry umpan pengguna iPhone dengan tawaran tunai

MONTREAL: BlackBerry, pengeluar telefon pintar dari Kanada sedang mengumpan pengguna iPhone untuk bertukar kepada model BlackBerry Passport menerusi tawaran pakej tukar beli dengan bayaran tunai.

Promosi itu akan berkuatkuasa mulai 1 Disember hingga 13 Februari depan di Kanada dan Amerika Syarikat. Pelanggan yang menukar beli iPhone dengan Passport akan mendapat tunai hingga AS$400 (RM1,339) bergantung kepada model dan keadaan peranti iPhone berkenaan, serta ditokok lagi dengan kad baucer hadiah bernilai AS$150 (RM502).

Ini adalah kali pertama BlackBerry membuat tawaran sedemikian sejak firma Kanada itu mengumumkan rancangan penyusunan semula tahun lalu. Promosi itu juga menunjukkan usaha agresif daripada pelopor pengeluaran telefon pintar itu untuk berdepan dengan Apple.

Sementara itu, model Passport yang diperkenalkan September lalu, disasarkan untuk memenangi semula pengguna korporat selepas BlackBerry terkeluar daripada saingan dalam segmen telefon pintar pengguna yang kini dikuasai Apple dan Samsung.

Pelabur pula nampaknya teruja dengan langkah BlackBerry itu yang dizahirkan menerusi kenaikan harga saham syarikat itu.

Bagaimanapun, penganalisis tidak begitu yakin. Carl Simard dari Medici menganggapnya sebagai langkah terdesak.

September lalu, BlackBerry mengumumkan yakin penyusunan semula besar-besaran yang sedang dilaksanakan termasuk pengenalan peranti yang mesra guna akan membantunya kembali sebagai pemain utama. Antara peranti yang diperkenalkan termasuk model Passport, sempena saiznya yang hampir sama dengan passport sebenar.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Ogos, BlackBerry mencatat kerugian AS$207 juta (RM693 juta) dengan sejumlah dua juta telefon pintar dijual dalam tempoh itu.

Tahun lalu, syarikat itu memperkenalkan sistem operasi (OS) baharu BlackBerry 10 dan beberapa model baharu untuk mengukuhkan saingan dengan Apple dan peranti yang menggunakan Android. - AFP

Berita Harian X