Rabu, 26 November 2014 | 12:27pm

UPSR: 2,335 calon Pulau Pinang dapat A semua subjek

BUKIT MERTAJAM: Seramai 2,335 daripada 23,629 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran dengan nilai peratusan 10.03 peratus.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Dr Sharifah Bee Aboo Bakar di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Mertajam, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, secara keseluruhan keputusan UPSR di negeri ini memuaskan dengan pencapaian Gred Purata Negeri lebih baik dari Gred Purata Nasional.

"Peratusan calon yang mencapai penguasaan tahap minimum iaitu sekurang-kurangnya C dalam semua mata pelajaran mencatatkan peningkatan sebanyak 0.73 peratus.

"Selain itu, dalam keputusan ini juga menyaksikan jurang antara prestasi sekolah Bandar dan Luar Bandar dalam kategori penguasaan tahap mininum dapat dikurangkan sebanyak 1.59 peratus," katanya.

DI KUANTAN, seramai 2,257 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2014 di Pahang mendapat keputusan cemerlang semua A.

Ia 9.22 peratus daripada 24,491 calon menduduki peperiksaan itu di 542 sekolah rendah di seluruh Pahang.

Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail berkata, jumlah itu menurun 1.92 peratus berbanding 2,791 calon mendapat semua A pada UPSR tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah calon menguasai semua mata pelajaran (MSMP) iaitu memperolehi gred A, B, C naik 0.45 peratus kepada 70.50 peratus atau 17,265 calon.

"Prestasi berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) ialah 2.23 berbanding 2.18 pada tahun lalu, " katanya ketika mengumumkan perkara itu di Sekolah Kebangsaan (P) Methodist.

Teks dibacakan oleh Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Razali Mustafar.

DI ALOR SETAR, seramai 23,588 membabitkan 68.13 peratus calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini di Kedah lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datin Azuyah Hassan, berkata peratus kelulusan itu meningkat sebanyak 2.19 peratus berbanding tahun lalu (65.94 peratus).

Beliau berkata, prestasi calon bagi sekolah kerajaan yang mencapai tahap cemerlang iaitu yang memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran ialah seramai 2,831 calon (8.18 peratus).

Beliau berkata, pencapaian dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) pada 2014 ialah 2.29 menyamai Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.29.

Secara keseluruhan, sebanyak 34,623 calon mengambil peperiksaan UPSR membabitkan 571 pusat.

DI KANGAR, peratus kelulusan pelajar yang mendapat pencapaian baik atau minimum gred C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini meningkat 1.67 peratus iaitu daripada 62.29 peratus pada 2013 kepada 63.96 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun Pengarah Pendidikan negeri, Dun Kasa, berkata peratus calon yang mendapat pencapaian cemerlang iaitu semua A menurun 1.81 peratus.

"Daripada 4,029 calon yang menduduki UPSR di sini, 291 atau 7.22 peratus daripadanya mendapat semua A dalam subjek yang diambil.

"Tahun lalu, peratus cemerlang semua A yang dicatatkan adalah 9.03 peratus.

"Gred Purata Nasional (GPN) bagi negeri ini juga menurun dari 2.37 pada 2013 kepada 2.41 pada tahun ini," katanya dalam sidang media.

Berita Harian X