Selasa, 27 September 2016 | 11:52am

Pengedar dadah guna kanak-kanak elak ditangkap


KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Kominisioner M. Chandra (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan paket dadah jenis syabu yang dirampas oleh polis dari suspek yang mengedar dadah pada sidang media yang diadakan di IPD Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak dipercayai dipergunakan tiga pengedar dadah bagi mengaburi pihak berkuasa daripada menahan mereka bersama 503.56 gram dadah jenis syabu bernilai RM65,000.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam tadi di Plaza University di Jalan UMS dekat sini, ketika ketiga-tiga lelaki itu hendak bertemu pelanggan untuk menjual dadah.

"Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuat pemerhatian di tempat letak kereta plaza terbabit dan mendapati dua lelaki turun dari sebuah kereta Perodua Viva.

"Semasa pemandu kereta membuat pusingan di plaza berkenaan untuk mengambil semula dua lelaki itu, dia (pemandu) telah ditahan dan didapati di dalam kereta itu ada dua kanak-kanak.

"Polis percaya ini taktik suspek membawa kanak-kanak bersama untuk mengaburi pihak berkuasa, seolah-olah kereta itu adalah kereta keluarga," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Chandra berkata, kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun dan perempuan berumur 3 tahun itu, yang dipercayai anak pemandu kereta berkenaan yang berumur 33 tahun, kini dalam penjagaan polis.

Katanya, pemandu kereta bekerja sebagai buruh kontrak, manakala dua lelaki lain, masing-masing berumur 38 dan 33 tahun tidak bekerja.

Beliau berkata, lelaki yang memandu kereta itu pernah ditahan kerana mengambil dadah, manakala suspek berumur 38 tahun itu pernah ditahan kerana memiliki dadah.

Chandra tidak menolak kemungkinan suspek, semua berasal dari Sepanggar dekat sini, terbabit dengan sindiket dadah yang aktif di sekitar Kota Kinabalu sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Chandra berkata, polis menahan 11 kereta dan sebuah motosikal yang terbabit dalam perlumbaan haram di Jalan Lintas dan jalan berhampiran pusat beli-belah Imago di sini, dalam Operasi Samseng Jalanan pada 25 September lalu.

Katanya, tiga lelaki ditahan kerana memandu secara melulu dan dipercayai terbabit dalam perlumbaan haram di Jalan Lintas yang membabitkan laluan sepanjang kira-kira 3 kilometer

"Seorang lelaki ditahan kerana di bawah pengaruh alkohol, manakala tiga lelaki lagi kerana didapati ada waran tangkapan dikeluarkan terhadap mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X