Isnin, 26 September 2016 | 7:37pm

Dorsett Hotel Putrajaya tawar keselesaan pada harga berpatutan

PUTRAJAYA: Dorsett Hotel Putrajaya di Presint 3 di sini, mengunjurkan nilai jualan RM21 juta sehingga hujung tahun daripada sektor pemasaran 218 unit bilik serta makanan dan minuman (F&B).

Pengurus Besar Dorsett Hotel Putrajaya, Alfred Paulsen, berkata hotel bertaraf empat bintang yang lebih menjurus kepada perniagaan berbanding percutian itu dibuka pertengahan Januari lalu dan terletak di kawasan strategik dikelilingi bangunan pentadbiran agensi serta jabatan Kerajaan Persekutuan.

Sempena pembukaan hotel itu, katanya, harga promosi berdaya saing ditawarkan serendah RM200 bagi kakitangan kerajaan dan RM290 bagi orang awam selain pelancong termasuk kemudahan wi-fi percuma sehingga hujung tahun ini.

Katanya, pengunjung paling ramai setakat ini adalah kakitangan kerajaan iaitu 70 peratus, diikuti korporat 10 peratus dan baki 20 peratus pengunjung luar serta antarabangsa.

"Kami menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 56 peratus kepada kakitangan kerajaan berkhidmat di luar kawasan Putrajaya yang berkunjung ke sini kerana tugas, dengan menawarkan harga selaras kelayakan tuntutan masing-masing mengikut perjawatan," katanya kepada BH, hari ini.

Dorsett Hotel Putarajaya adalah hotel ketujuh dibangunkan di negara ini oleh pemiliknya, Mayland Avenue Sdn Bhd, selain rangkaian hotelnya di Labuan, Subang Jaya, Selangor; Kuala Lumpur, Singapura, Silka Hotel Cheras, Selangor dan Silka Hotel Kuala Lumpur.

Antara bilik ditawarkan ialah Ministry Suite, Studio Suite, Balcony Room, Deluxe Room dan Dorsett Room.

Dorsett Hotel Putrajaya turut menyediakan pakej seminar, pakej perkahwinan dan majlis rasmi, masing-masing dalam ruang dewan khusus yang luas dilengkapi peralatan diperlukan.

Paulsen berkata, penginap Dorsett Hotel Putrajaya pasti tertawan dengan keindahan malam di sini berikutan kedudukan hotel berkenaan yang hanya beberapa meter dari kawasan tumpuan pelancongan seperti Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra, Monumen Alaf Baru, Istana Kehakiman dan tempat menarik lain.

"Bagi menjamu selera, Dorsett Hotel Putrajaya menyediakan dua kafe yang menyajikan makanan tempatan dan barat termasuk bufet Ramadan ketika bulan puasa dengan lebih 1,000 jenis makanan, selain buah-buahan tempatan.

"Kemudahan lain yang disediakan di hotel ini termasuk sebuah pasar raya, pusat beli belah, surau, parkir kenderaan bawah tanah, kolam renang terbuka dan pengangkutan percuma kepada pelancong untuk melawat sekitar Putrajaya," katanya.

Berita Harian X