Isnin, 26 September 2016 | 2:18pm

SPAD dibenar batal saman pemandu teksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membatalkan saman 102 pemandu teksi.

Tuntutan saman itu adalah berhubung perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara tidak sah.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan permohonan SPAD selepas mendapati tuntutan saman pemandu teksi selaku plaintif tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah.

Dalam penghakimannya, Geok Yian berkata, saman itu tidak boleh dikekalkan kerana tidak menamakan Uber, Grabcar dan Blacklane sebagai defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan walaupun plaintif membuat banyak tohmahan terhadap mereka.

Menerusi pernyataan pembelaan, katanya, SPAD menyatakan sudah mengambil tindakan penangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang menggunakan kereta mereka serta memberi perkhidmatan kepada orang ramai secara tidak sah.

Katanya, plaintif sepatutnya memulakan tindakan melalui permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

Pemandu teksi di sekitar Lembah Klang yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan mereka pada 31 Disember tahun lalu dengan menamakan SPAD sebagai defendan.

Dalam penyata tuntutannya, plaintif mendakwa operasi Uber, Grabcar dan Blacklane tidak mendapat kelulusan beroperasi SPAD serta kenderaan digunakan tidak dilengkapi insurans bagi melindungi penumpang.

Mereka juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil tindakan proaktif untuk mengharamkan perkhidmatan itu, sehingga meminggirkan hak serta kepentingan plaintif.

Plaintif diwakili peguam R Kengadharan manakala peguam Ben Syazmin bertindak bagi pihak SPAD.

Berita Harian X