Selasa, 25 November 2014 | 10:03pm
Ismet (kiri) dan Takashi bersama model Lexus RC 350. Foto Azmaidi Abidin

Lexus tingkat saingan dalam segmen premium menerusi RC F, RC 350

KUALA LUMPUR: Lexus Malaysia memperkenalkan dua model coupe sport mewah terbaru Lexus RC F dan Lexus RC 350 bagi memperkukuh kehadiran semula jenama itu dalam segmen kenderaan premium.

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk Ismet Suki, berkata Lexus RC F ditawarkan pada harga atas jalan RM802,482.35 seunit termasuk insurans manakala Lexus RC 350 pula pada RM539,915.85 termasuk insurans di Semenanjung.

"Lexus RC menandakan lembaran baharu bagi Lexus Malaysia, dan kami bangga kerana berupaya menawarkan pelanggan satu daripada coupe terbaik yang ada di pasaran hari ini," katanya pada pelancaran dua model coupe sport berkenaan di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi.

Lexus RC F dipacu enjin 5.0-liter V-8 yang sebelum ini diperkenalkan pada model sedan IS F. Rekaan kepala selinder baharu serta penggunaan bahan yang lebih ringan berupaya meningkatkan kuasa enjin kepada 470bhp dan 530Nm tork, dengan kelajuan enjin maksimum dipertingkatkan daripada 4,800 rpm kepada 5,600 rpm.

Lexus RC 350 pula menggunakan enjin 3.5 liter V6 2GR-FSE menjana 233kW dan 376Nm tork dan mampu memecut dari 0-100km sejam dalam 6.3 saat.

Kedua-dua model berkenaan dimantapkan dengan sistem audio Mark Levinson dengan pembesar suara resolusi tinggi.

Berita Harian X