Sabtu, 24 September 2016 | 12:35am

LaporPo juarai pusingan terakhir WAITGC di Kuching


PASUKAN LaporPro bersama hadiah yang dimenangi sebagai juara WAITGC di Kuching.

KUCHING: Pasukan pilihan dari Brunei, LaporPo seperti diramal mudah menguasai pusingan kelayakan terakhir saingan Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia (WAITGC) 2016 di sini, yang berakhir semalam.

LaporPo yang pernah muncul juara keseluruhan WAITGC pada tahun 2014, ‎kali ini dibarisi bekas pemain kebangsaan Brunei, Seruji Setia, Wan Man Wan Hil dan dua adik beradik, Tony dan Diny Karim jelas berada dalam kelas berbeza.

Mereka menguasai lapangan Damai Golf and Country Club dan Kelab Golf Sarawak sejak hari pertama untuk mengumpul 966 pukulan keseluruhan sekali gus muncul juara.

Bukan itu saja, Seruji turut ditabal juara individu selepas mencatat 315 pukulan.

Kejayaan berganda LaporPo itu nyata memberi suntikan semangat untuk mereka terus berjuang mengejar kejuaraan keseluruhan pada grand final nanti.

"Kami berpuas hati dengan permainan di Sarawak kali ini, tetapi fokus kami adalah untuk mengulangi kejayaan pada 2014. Kami yakin mampu melakukannya," katanya.

Tempat kedua di pusingan kelima ini menjadi milik Cool Bananas dari Australia yang menghimpunkan 1,022 pukulan, manakala Mambo Jumbo juga dari Australia berpuas hati di tempat ketiga dengan 1,037 pukulan.

Sementara itu dalam kategori stableford dua pasukan dari Brunei, Kalulut Poni dan Keropok mengesahkan tempat ke grand final mengiringi tiga pasukan terbaik dari kategori gross.

Berita Harian X