Khamis, 22 September 2016 | 12:12am
KEUNIKAN terumbu karang Patricia sentiasa menarik perhatian kaki selam. - Foto Kandau Sidi
PATRICIA kurang popular dalam kaki selam berbanding Sipadan kerana kurang publisiti, namun keunikannya diperakui jurugambar profesional dan saintis marin. - Foto Kandau Sidi
KEUNIKAN terumbu karang Patricia sentiasa menarik perhatian peminat kaki selam. - Foto Kandau Sidi
HIDUPAN makro dan mikro seperti 'nudibrance' yang berwarna-warni adalah `aset utama' kawasan terumbu karang Patricia. - Foto Kandau Sidi
KEINDAHAN dasar laut Patrica umpama syurga kepada jurugambar dasar laut. - Foto Kandau Sidi
KEWUJUDAN terumbu karang juga penting sebagai pendokong utama usaha pembiakan penyu hijau yang kerap bertelur di kawasan 'pasir emas' di Taman Negara Similajau. - Foto Kandau Sidi
TERUMBU Karang Patricia terletak 18.3 batu nautika dari pesisir pantai Taman Negara Similajau, Bintulu. - Foto Kandau Sidi
EKSEKUTIF Alam Sekitar dan Marin Sarawak Forestry Corporation, Toloy Keripin Musang. - Foto Kandau Sidi
PENYELAM mendengar taklimat membersihkan terumbu karang Patricia di Bintulu. - Foto Kandau Sidi
PUKAT yang dibersihkan daripada terumbu karang Patricia. - Foto Kandau Sidi

'Patricia dicabul' pukat tunda, nelayan asing


BINTULU: Kawasan batu karang di dasar Benting Nyabau, yang pernah menarik perhatian penggambaran National Geographic diancam kemusnahan akibat pencerobohan bot pukat tunda terutama nelayan asing.

Kawasan perairan berkenaan yang dinamakan "Patricia" terletak kira-kira 18 batu nautika dari pesisir Taman Negara Similajau di sini juga menjadi tumpuan penyelam tempatan dan profesional.

Malah penggambaran National Geographic itu kerana struktur batu karang di situ unik dan tidak ada di lokasi lain di dunia.

Eksekutif Alam Sekitar dan Marin, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Toloy Keripin Musang, berkata kegiatan pukat tunda serta pencerobohan nelayan asing adalah antara ancaman utama kepada kerosakan ekosistem itu.

"Sejak lima tahun lalu kita sudah melakukan pelbagai program untuk memastikan terumbu karang berkenaan terpelihara," katanya kepada BH.


PELBAGAI spesis ikan laut mendiami terumbu karang Patricia. - Foto Kandau Sidi

Beliau berkata setiap tahun SFC dengan kerjasama Malaysia LNG (MNLG) menganjurkan program pembersihan `Patricia' daripada sisa pukat yang tersangkut pada terumbu karang di situ.

Katanya terumbu karang di situ adalah beting utama bagi pembiakan penyu hijau yang kerap bertelur di kawasan 'pasir emas' di Taman Negara Similajau.

Ketua Operasi Projek Pembersihan Terumbu Karang Patricia, Christoper Kri, pula mendedahkan ancaman pukat tunda, terutama oleh bot nelayan asing menjejaskan pertumbuhan batu karang di kawasan itu.

"Agak menyedihkan melihat banyak sisa pukat tunda yang tersangkut pada Terumbu Karang Patricia, malah kelihatan juga bangkai hidupan laut yang tersangkut pada pukat itu.

"Justeru, sisa ini perlu dibersihkan agar tidak mengganggu proses tumbesaran batu karang berkenaan, sekali gus memulihara khazanah laut di sini. Keseluruhannya, kita membersihkan lebih 100 kilogram sisa pukat tunda sepanjang operasi ini," katanya.


KAWASAN Terumbu Karang Patricia turut dikenali sebagai Benting Nyabau. - Foto Kandau Sidi

"Walaupun `Patricia' kurang popular dalam kaki selam kerana kurang publisiti, namun keunikannya diperakui jurugambar profesional dan saintis marin. Justeru, kita bertekad melindungi kawasan terumbu karang ini dari dimusnahkan, terutama oleh kegiatan nelayan pukat tunda.

"Keseluruhannya, kita sudah menempatkan lebih 500 tukun tiruan di sekitar kawasan terumbu karang itu sebagai usaha pemuliharaannya, selain meningkatkan populasi hidupan marin di situ," katanya.

Penyelam profesional, Victor Tang, 35, yang berasal dari Singapura, berkata kawasan berkenaan jauh lebih indah berbanding Sipadan, Sabah.

"Ini kali pertama saya menyelam di sini dan boleh dikatakan saya `jatuh cinta pandang pertama'. Sipadan cukup dikenali dalam kalangan penyelam dari seluruh dunia, namun `Patricia' mempunyai keunikan tersendiri," katanya.

Lokasi lain juga diceroboh


Pendakwaan fail notis pindah kes Bung Moktar, Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi. - Arkib NSTP

Selain 'Patricia', beberapa kawasan terumbu karang di luar pesisir Miri, Sibuti, Bekenun Bintulu dan Lundu dipercayai turut terdedah kepada ancaman terutama dengan kebanjiran nelayan asing.

Walaupun penggunaan pukat diharamkan kerajaan negeri, segelintir nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak dikesan masih menggunakan kaedah berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan negeri melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengambil inisiatif melaksanakan program pembersihan dasar laut, selain menempatkan tukun tiruan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti.

Ini termasuk taman laut dan taman negara di kawasan luar pesisir Sibuti dan Bintulu, antara lokasi paling aktif berlaku pencerobohan nelayan asing menggunakan pukat tunda.

Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata kerajaan negeri merancang menempatkan 5,000 hingga 10,000 tukun tiruan untuk melindungi kawasan terumbu karang di seluruh negeri.

Beliau berkata, sejumlah 1,500 tukun tiruan sudah ditempatkan di kawasan perairan negeri sehingga kini, dengan 509 daripadanya diletakkan di Beting Nyabau.


Antara nelayan asing yang ditahan pihak berkuasa kerana menjalankan kegiatan perikanan secara haram di perairan Sarawak menggunakan pukat tunda menyebabkan kemusnahan pelbagai hidupan laut, termasuk terumbu karang.

INFO

  • Kawasan Terumbu Karang Patricia turut dikenali sebagai Benting Nyabau
  • Terletak 18.3 batu nautika dari pesisir pantai Taman Negara Similajau, Bintulu
  • 500 tukun tiruan diletakkan di kawasan terumbu karang terbabit sebagai usaha pemuliharaan sumber maritim.
Berita Harian X