Selasa, 20 September 2016 | 2:02pm

MCA Gelang Patah dakwa hilang 13,000 pengundi

TIMBALAN Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah, Tan Ba Ba, (empat dari kanan) bersama ahli parti dan ketua masyarakat Parlimen Gelang Patah membantah mengenai persempadanan semula kawasan PRU pada sidang media di Kelab Wartawan Cina, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: MCA Bahagian Gelang Patah mendakwa kehilangan hampir 13,000 pengundi membabitkan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen itu, susulan persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi, Tan Ba Ba, berkata lima PDM itu ialah Kampung Pulai, Sri Pulai, Teratai, Bandar Ulu Choh dan Ulu Choh yang akan dipindahkan ke Parlimen Kulai berdasarkan persempadanan semula SPR.

Katanya, SPR perlu mengkaji semula perkara berkenaan kerana ia akan memberi kesan kepada parti itu yang selama ini bekerja keras menemui pengundi di PDM berkenaan.

"SPR seharusnya memberikan notis awal kira-kira setahun lalu selain membincangkan perkara ini bersama pemimpin parti Barisan Nasional (BN) Parlimen Gelang Patah.

"Ini kerana kita sudah mengenali semua pengundi di PDM berkenaan selain yakin pada pilihan raya umum akan datang, BN mampu merampas kembali kerusi Parlimen Gelang Patah daripada pembangkang.

"Jika secara tiba-tiba SPR ingin melakukan persempadanan semula, kita berasakan ia tidak adil dan perlu dikaji semula," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ba Ba berkata, berdasarkan persempadanan semula itu, empat PDM dari Parlimen Pulai akan dimasukkan ke Parlimen Gelang Patah iaitu Jaya Mas, Selesa Jaya, Sri Sinding dan Mutiara Rini, membabitkan kira-kira 7,000 pengundi.

Berita Harian X