Selasa, 20 September 2016 | 10:57am

Ringgit lebih rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan awal hari ini selepas peniaga menunggu keputusan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada jam 9.15 pagi, ringgit disebut kepada 4.1365/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1330/1390 pada Isnin.

Peniaga berkata walaupun sesetengah pihak menjangka Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat dua hari bermula hari ini, kecenderungan pegawai Fed untuk membayangkan satu lagi kadar kenaikan masih utuh.

"Selepas kenaikan kadar buat kali pertama pada Disember lalu sejak krisis kewangan, Fed mungkin menaikkan kadar lagi berdasarkan data pekerjaan yang bertambah baik di negara itu baru-baru ini," katanya.

Unit tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0353/0390 daripada 3.0303/0351 pada Isnin, namun kukuh berbanding yen kepada 4.0566/0612 daripada 4.0575/0646.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.3940/3990 dari 5.3936/4018 dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.6221/6277 daripada penutup Isnin iaitu 4.6157/6228. - BERNAMA

Berita Harian X