Ahad, 18 September 2016 | 7:02pm

Dana Global Sukuk UCITS dilancar

KUALA LUMPUR: CIMB-Principal Islamic Asset Management (Ireland) Plc melancarkan Dana Global Sukuk UCITS, dana global pertama Malaysia di bawah struktur dana Sekuriti Boleh Pindah Untuk Pelaburan Kolektif (UCITS).

CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd (CIMB-Principal Islamic) bertindak sebagai pengurus pelaburan dan pengedar induk dana berkenaan selepas ia mendapat kelulusan Central Bank of Ireland.

"Dana ini membuktikan sokongan berterusan CIMB-Principal ke arah membangunkan Malaysia sebagai hab bagi produk kewangan Islam di peringkat global," kata syarikat itu menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dana dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) itu akan memaksimumkan jumlah pulangan bagi tempoh jangka sederhana dan panjang menerusi kombinasi pertumbuhan modal serta pendapatan.

Ia akan membuat pelaburan terutama dalam pelbagai portfolio sekuriti pendapatan tetap patuh Syariah (sukuk) yang diterbitkan oleh kerajaan dan entiti berkaitan kerajaan, korporat atau entiti supranasional yang berpangkalan terutama di Asia Barat dan Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic, Datin Seri Norashikin Mohd Kassim, berkata dana itu akan menarik pelabur yang mencari pelaburan beretika dengan pulangan stabil dalam mata wang utama.

"Sebagai contoh, dolar AS. Ia akan memanfaatkan sukuk penerbit utama, kebanyakannya kredit kerajaan dan kredit berkaitan kerajaan di Timur Tengah dan Asia.

"Kami percaya sukuk menawarkan pulangan risiko terselaras yang kukuh dan pelbagai manfaat kepada pelabur. Ia berikutan naik turun yang rendah serta korelasi lebih rendah dengan ekuiti konvensional dan pendapatan tetap," katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata, CIMB-Principal Islamic menjangkakan permintaan kukuh terhadap Global Sukuk UCITS Fund itu, memandangkan pasaran ekuiti tidak menentu sekarang dan kekurangan terbitan sukuk yang baik dalam pasaran.

Katanya, prospek bagi terbitan sukuk global pada 2016 kekal kukuh disebabkan asas kredit pendasar yang teguh dan keperluan untuk mengakses pasaran modal bagi merapatkan jurang bajet.

Norashikin berkata, dana UCITS yang ditadbir oleh peraturan antarabangsa ketat, menyediakan platform terbaik bagi pelabur untuk mendapatkan peluang pelaburan global dengan cekap.

"Pelabur global boleh memanfaatkan kepakaran pelaburan syarikat berkenaan sebagai pengurus aset patuh syariah utama," katanya.

Info:

Dana Global Sukuk UCITS

* Pelaburan minimum AS$1,000

* Portfolio pelbagai dan peningkatan modal jangka panjang

* Harga tawaran awal AS$10.00 sesaham

* CIMB Islamic Bank Bhd sebagai penasihat Syariah

Berita Harian X