Sabtu, 17 September 2016 | 8:36am

City dijangka terus berpesta gol, United perlu bangkit

AKSI perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi - pemain Chelsea, Eden Hazard (kanan) bersaing dengan pemain Liverpool, Nathaniel Clyde di Stamford Bridge. - Foto EPA

KOLUM APA KATA EPL: Tumpuan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini adalah membabitkan Chelsea dan Liverpool di Stamford Bridge. Aksi dua kelab gergasi ini berlangsung jam 3 pagi tadi, waktu Malaysia.

Ketika ramalan ini tersiar di BH hari ini, keputusan perlawanan sudah pun diketahui. Dapat dijangkakan reaksi ceria menghiasi wajah penyokong setia pasukan menang, ketika menikmati sarapan hari ini dan sebaliknya pula buat pasukan tewas.

Andai Chelsea menang, The Blues akan mengambil alih kedudukan Manchester City selaku pendahulu carta liga, manakala bagi Liverpool, kemenangan pula akan membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua, merampas tempat Chelsea.

Selepas aksi keempat minggu lalu, The Blues menduduki tangga kedua dengan himpunan 10 mata ketinggalan dua mata di belakang City, manakala The Reds, di tempat keenam dengan mengumpul tujuh mata.

Selain aksi dua kelab gergasi itu, saingan minggu ini juga bertumpu kepada beberapa kelab ternama lain. City yang menjadi pasukan tunggal memenangi semua perlawanan musim ini, bakal melayan kunjungan Bournemouth di Etihad, jam, 10 malam ini.

Penyandang juara, Leicester City pula menerima kunjungan Burnley manakala Arsenal berkunjung ke Hull City. Manchester United yang dikejutkan Feyenoord, 1-0 dalam saingan Liga Europa kelmarin, berkunjung ke Watford.

Bagi penulis, barisan Pep Guardiola yang mendahului carta saingan EPL selepas empat aksi minggu lalu, tiada masalah mengutip mata penuh buat kali kelima berturut-turut.

Minggu lalu, mereka mengatasi Manchester United dalam aksi 'Manchester Derby', 2-1 di Old Trafford dan pada pertengahan minggu ini pula, skuad The Citizens membelasah Borrusia Monchengladbach di laman sendiri, 4-0, dalam saingan Liga Juara-Juara.

Berdasarkan prestasi semasa itu, saya jangkakan Etihad akan berpesta gol lagi, meskipun minggu lalu, Bournemouth berjaya menewaskan West Brom, 1-0, untuk mencatat kemenangan pertama liga dan menduduki tangga ke-14.

Leicester pula yang dijinakkan Liverpool, 4-1 minggu lalu, dijangka mampu bangkit menewaskan Burnley malam ini selepas mendapat tonik hasil kejayaan menewaskan Club Brugge, 3-0 pada saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Arsenal yang diikat 1-1 oleh Paris Saint Germain pada saingan Liga Juara-Juara, juga dijangka tiada masalah mengutip mata penuh lagi apabila berentap dengan Hull, manakala United harus memenangi pertemuan dengan Watford, andai ingin bangkit dan melupakan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini. Selamat menonton.

* Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Ramalan Minggu ke-5

Chelsea 2 - Liverpool 1

Hull City 1 - Arsenal 2

Man City 4 - Bournemouth 1

West Brom 2 - West Ham 2

Leicester City 2 - Burnley FC 1

Everton 2 - Middlesbrough 0

Watford 1 - Man United 3

Crystal Palace 2 - Stoke City 1

Southampton 2 - Swansea City 0

Tottenham 4 - Sunderland 1.

Berita Harian X