Sabtu, 17 September 2016 | 12:06am
ANTARA pelanggan yang hadir di Restoran Asam Pedas Muar Istimewa, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
RESTORAN Asam Pedas Muar Istimewa di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
RESTORAN Asam Pedas Muar Istimewa menyediakan 10 jenis masakan asam pedas menggunakan ikan laut segar setiap hari. - Foto Amirudin Sahib

10 jenis asam pedas Amat Sedap, Amat Mantap


SALMIAH menunjukkan hidangan istimewa asam pedas di restorannya di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

SEPULUH jenis masakan asam pedas memang cukup banyak membuatkan kita sukar untuk membuat pilihan.

Jadi, kenalah bijak buat pilihan kerana tidak mungkin hendak makan semuanya dalam satu masa.

Namun itulah kelebihan dan keistimewaan juadah yang ditawarkan di Restoran Asam Pedas Muar Istimewa di Taman Danau Kota, Setapak ini.

Ia memang istimewa kerana menghidangkan 10 jenis masakan asam pedas daripada ikan laut segar iaitu tenggiri, merah, senangin, parang, siakap, pari, kembong, terubuk, mayong dan sembilang. Selain itu masakan asam pedas daging lembu.

Ini yang menjadikan Restoran Asam Pedas Muar yang menggunakan slogan Amat Sedap, Amat Mantap kerap sesak dengan pelanggannya bukan sahaja dari kalangan warga tempatan tetapi juga pelancong asing, terutama dari negara jiran.

Pemilik dan pengasasnya, Salmiah Osman, 52, berkata mungkin kerana kesedapan itu menyebabkan beberapa pegawai dan kakitangan dari pejabat kedutaan Singapura, Indonesia atau Brunei sering datang makan asam pedas di Restoran Asam Pedas Muar.

"Setiap hari, restoran ini menyediakan 10 jenis masakan asam pedas menggunakan ikan laut segar. Saya juga ada masakan asam pedas daging lembu.

"Semua masakan asam pedas saya sendiri yang sediakan, sejurus pesanan daripada pelanggan diterima," katanya yang berasal dari Kampung Parit Sepayung, Muar.

Ibu kepada empat anak itu, berkata masakan Asam Pedas Muar yang terdapat di restoran adalah resipi yang dipelajari daripada ibu dan kakak iparnya.


SALMIAH menyediakan masakan asam pedas ikan merah. - Foto Amirudin Sahib

ANTARA pelanggan yang hadir di Restoran Asam Pedas Muar Istimewa, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

Pedas tapi sedap

Alang-alang sudah berada di restoran itu, penulis memesan set asam pedas Muar ikan sembilang, manakala rakan penulis yang berasal dari Johor dan kerap makan masakan itu meminta set asam pedas Muar ikan merah.

Selang 10 minit, kami menerima pesanan itu. Setiap set disertakan belacan, ulam kacang ceper, timun dan ikan masin serta sirap.

Rasa hidangan asam pedas Muar ikan sembilang memang sedap dan tersendiri. Biarpun agak pedas namun rakan penulis yang sebelumnya mengaku tidak tahan pedas berjaya menghabiskan hidangkan itu kurang lima minit, sambil mengaku rasanya memang asli.

Salmiah yang pernah bekerja di restoran makanan Barat, berkata selain masakan asam pedas, restorannya turut menyediakan menu tambahan iaitu kari kepala ikan merah, tenggiri dan siakap; taugeh goreng, telur dadar APM, lempeng kosong dan mi bandung Muar.


RESTORAN Asam Pedas Muar yang menggunakan slogan Amat Sedap, Amat Mantap. - Foto Amirudin Sahib

INFO

Restoran Asam Pedas Muar Istimewa

Lokasi: G19, PV12, Platinum Lake Condo, Jalan Langkawi, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur

Waktu Operasi: 11 pagi hingga 10 malam (setiap hari kecuali Jumaat)

FAKTA NOMBOR

* RM15.50 - Set asam pedas ikan merah dan tenggiri

*RM14.90 - Asam pedas terubuk

* RM9.90 - Set asam pedas pari dan kembung

* RM8.50 - Set asam pedas daging

Menu istimewa lain

* Asam pedas sembilang

* Asam pedas terubuk

* Lempeng kelapa

* Mi Bandung Sotong

* Mi Bandung Udang galah

* Kari kepala ikan jenahak

Berita Harian X