Khamis, 15 September 2016 | 12:05am

Pelajar Malaysia di Mesir "hutang" universiti RM4.5 juta


KUALA LUMPUR: Selepas bertungkus-lumus sejak dua tahun lalu hingga memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian masing-masing, kira-kira 150 pelajar Malaysia bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir, kini berdepan penyingkiran pada bila-bila masa.

Tanpa tajaan atau pembiayaan pendidikan, setiap pelajar persendirian daripada lapan universiti itu, bergantung sepenuhnya kepada keluarga, untuk membayar yuran pengajian kira-kira AS$8,000 (lebih RM32,934) setahun serta sara hidup.

Peningkatan kos serta kemerosotan nilai Ringgit, menyaksikan kumpulan pelajar perubatan, pergigian dan farmasi, yang memperoleh keputusan tahap 'jayyid jayyidan' dan 'mumtaz' itu, berdepan tunggakan yuran hampir RM4.5 juta.

Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) ketika mendedahkan perkembangan itu, merayu bantuan semua pihak di Malaysia, tampil meringankan beban kumpulan pelajar terbabit demi masa depan mereka dan negara.

Semua pelajar itu berlatar belakang keluarga sederhana dan miskin, mulanya melanjutkan pelajaran secara biaya sendiri dengan harapan memperoleh tajaan atau pembiayaan, apabila memohon berbekalkan keputusan cemerlang pada Tahun Satu, seperti dilakukan senior mereka selama ini.

Namun, sejak rampasan kuasa tentera di Mesir pada 2013, agensi Kerajaan Malaysia seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menghentikan sepenuhnya amalan penajaan atau pembiayaan sedemikian.

Presiden PERUBATAN, Muhammad Ikraam Abdul Latif, yang juga pelajar Tahun Enam Kuliah Perubatan Universiti Kaherah, berkata kebanyakan pelajar terjejas kini bergantung bantuan sara hidup melalui Tabung Kasih Sayang PERUBATAN, hasil sumbangan sesama pelajar bersimpati di sana.


PRESIDEN Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir, Muhammad Ikraam Abdul Latif.

"Isu tunggakan yuran pengajian semakin serius sejak kejatuhan nilai Ringgit akhir tahun lalu, yang memberi kesan kepada tukaran mata wang tempatan ke Dolar dan Pound Sterling, menyebabkan kos membayar yuran pengajian menjadi lebih tinggi.

"Kos sara hidup di Mesir meningkat hampir 50 peratus berbanding dua tahun lalu. Keadaan ini sememangnya menekan kami, khususnya pelajar yang tidak mempunyai tajaan dan pinjaman pelajaran," katanya ketika dihubungi BH.

Muhammad Ikraam berkata, PERUBATAN ada menjalinkan kerjasama dengan Education Malaysia Egypt bagi membantu menyelesaikan isu tunggakan yuran pengajian.

"Namun, kerjasama itu hanya untuk jangka masa pendek seperti pengeluaran surat pengesahan tiada tajaan atau pinjaman serta urusan kebenaran memasuki peperiksaan bersama pihak universiti, walaupun pelajar terbabit mempunyai tunggakan yuran.

"Kami berharap penyelesaian lebih holistik dapat dilakukan. Berikutan itu, kami merayu bantuan kerajaan dan rakyat Malaysia untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Tubuh HOPE bantu kutip sumbangan

Atas dasar simpati, sekumpulan pelajar perubatan di Mesir, sepakat melancarkan Projek HOPE sejak Ogos lalu, bagi membantu rakan, dibebani masalah kewangan termasuk berdepan tunggakan yuran pengajian.

Projek terbabit dicetuskan Pelajar Tahun Tiga Perubatan Pergigian dari Universiti Al-Azhar, Haifa Nasuha Mohd Nazlan, 21, selepas langkah itu berjaya membantu seorang rakannya melunaskan tunggakan yuran pengajian.


PENGARAH Projek HOPE, Haifa Nasuha Ahmad Nazlan.

Haifa Nasuha ketika dihubungi BH berkata, sepanjang beliau mengendalikan kutipan untuk rakannya itu, ramai penyumbang yang bertanya jika ada lagi pelajar lain yang perlu dibantu.

"Jadi dari situ saya merasakan lebih baik jika ada satu medium yang dipercayai untuk mengurus dan membantu menjalankan urusan kutipan untuk membiayai yuran pelajar yang memerlukan.

"Sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang prihatin ingin membantu, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa bantuan itu boleh disalurkan. Oleh itu saya bersama rakan-rakan mengambil inisiatif untuk membantu memudahkan urusan ini menerusi Projek HOPE ini," katanya.

Setiausaha Projek HOPE, Nurul Filzah Ayuni Rohaizat, berkata susulan kejayaan itu, mereka terpanggil memperluaskan matlamat Projek HOPE untuk membantu seramai mungkin pelajar cemerlang yang berdepan masalah kewangan dan tunggakan yuran pengajian.

"Sebagai permulaan, kami menyasar AS$32,000 (RM131,736) sehingga akhir tahun ini untuk membantu empat pelajar yang sangat memerlukan bagi membayar tunggakan yuran pengajian selama setahun berjumlah AS$8,000 (RM32,934) untuk mengelak penyingkiran.


NURUL Filzah Ayuni Rohaizat.

"Setakat ini, maklum balas diterima agak menggalakkan apabila dapat mengumpul RM10,000. Kami merancang mendekati syarikat swasta bagi merayu sumbangan mereka kerana setakat ini dana diterima daripada individu," katanya kepada BH.

Nurul Filzah Ayuni yang juga pelajar Tahun Lima Perubatan Universiti Kaherah, berkata mereka juga sedang bekerjasama dengan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk membantu usaha itu.

"Memandangkan kami berada di Mesir, usaha memohon dana akan lebih muda jika dibantu oleh rakan pelajar di Malaysia. Kami sasar untuk mendapatkan sumbangan daripada 40 syarikat tempatan sehingga akhir tahun ini," katanya.

Katanya, Projek HOPE dijalankan dengan kerjasama Yayasan Assegaff kendalian bekas pelajar Malaysia yang pernah belajar di Mesir dan berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun CIMB milik Yayasan Assegaff iaitu 8600087342 dengan transaksi dicatat sebagai 'Sumbangan HOPE Mesir' dan penyumbang boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan," katanya.


PELAJAR perubatan tahun akhir Universiti Zagazig, Ahmad Azam Maskury.

Cerita pelajar

Pelajar cemerlang perubatan tahun akhir di Universiti Zagazig, Ahmad Azim Maskury, 24, dari Kota Bharu, Kelantan, khuatir terpaksa melupakan cita-cita sebagai doktor jika tidak dapat meneruskan pengajian kerana ada tunggakan sebanyak RM64,000.

Katanya beliau berdepan masalah membayar kos pendidikan bagi Tahun Lima dan Tahun Enam pengajiannya, kerana tidak menerima sebarang tajaan kewangan.

"Jika saya masih gagal jelaskan tunggakan yuran, saya kemungkinan tidak dapat menamatkan pengajian pada Februari tahun depan seperti yang ditetapkan.

"Malah, pihak universiti tidak akan menyerahkan transkrip ijazah selagi saya tidak melangsaikan yuran yang tertunggak," katanya.

Lebih membimbangkannya, pihak universiti membuat keputusan tidak mengeluarkan tasdiq (surat permohonan visa pelajar) disebabkan masalah kewangan itu.


PELAJAR Tahun Tiga Perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir, Ikhwani Surahman.

Pelajar Tahun Tiga Perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir, Ikhwani Surahman, 21, dari Papar, Sabah, pula berkata dia mempunyai tunggakan yuran pengajian hampir RM36,000.

Katanya, tunggakan itu membabitkan sebahagian daripada yuran Tahun Kedua iaitu RM3,976 dan selebihnya pada Tahun Ketiga.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, ketika ini sumber kewangannya banyak bergantung kepada ibu bapanya yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Papar.

Beliau berkata, cubaannya untuk mendapatkan tajaan pengajian dari beberapa agensi sehingga ke Tahun Ketiga pengajian tidak berjaya.

"Saya mengikuti pengajian perubatan di sini kerana faktor kos pengajian di sini yang lebih murah berbanding negara lain.


SUKARELAWAN Projek Hope.

"Saya diberitahu oleh ejen dan senior sebelum datang ke sini pada 2013 bahawa tajaan pendidikan akan diberikan pada tahun kedua dengan syarat mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun pertama.

"Namun, biarpun saya berjaya mencatat keputusan mumtaz pada tahun pertama, rezeki masih belum menyebelahi saya sehingga sekarang," katanya.

Ikhwani berkata, jika beliau gagal melunaskan tunggakan yuran pengajian, universiti tidak membenarkannya mengambil peperiksaan sekali gus menghalangnya untuk meneruskan pengajian ke tahun seterusnya.

"Ramai kawan dan pelajar lain yang turut alami masalah sama seperti saya. Ada juga yang terpaksa berhenti dan pulang ke Malaysia memulakan kembali pengajian mereka dari Tahun Pertama," katanya.

Info: Lapan Universiti di Mesir yang menampung pelajar Malaysia dalam bidang sains kesihatan

1. Universiti Al-Azhar (Perubatan dan Pergigian)

2. Universiti Kaherah (Perubatan)

3. Universiti Ain-Shams (Perubatan)

4. Universiti Zagazig (Perubatan dan Farmasi)

5. Universiti Alexandria (Perubatan dan Pergigian)

6. Universiti Tanta (Perubatan dan Pergigian)

7. Universiti Mansoura (Perubatan dan Pergigian)

8. Universiti Assiut (Perubatan dan Pergigian)

Berita Harian X