Rabu, 14 September 2016 | 9:17pm

Pemangku Presiden Uzbekistan buat rombakan Kabinet pertama


PEMANGKU Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev. - Foto AP

ALMATY: Pemangku Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev melakukan rombakan Kabinet pertamanya, kata pihak berkuasa hari ini, susulan kematian penyandangnya, Islam Karimov.

Mirziyoyev yang sebelum ini memegang jawatan Perdana Menteri dilantik sebagai Pemangku Presiden negara Asia Tengah itu minggu lalu selepas kematian Karimov pada usia 78 tahun, selepas 27 tahun memerintah tanpa meninggalkan pewaris.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, Mirziyoyev, 58, melantik Timbalan Perdana Menteri baharu, Abdulla Aripov untuk meneliti isu budaya dan telekomunikasi di negara bekas Soviet itu serta menggantikan menteri pendidikan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Pertama Rustam Azimov, satu ketika dulu dianggap pengganti potensi Karimov, mengekalkan kedudukannya dalam rombakan kecil-kecilan dan melanjutkan kuasanya termasuk pendidikan dan sains.

Mirziyoyev - sekutu sekian lama Karimov yang dianggap sebagai pemimpin diktator - dijangka mengukuhkan kuasanya dalam pilihan raya dijadualkan 4 Disember ini.

Kematian Karimov meninggalkan pemimpin Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev sebagai satu-satunya presiden yang masih berkuasa di rantau Asia Tengah bekas Soviet yang memerintah negara itu selepas perpecahan daripada Kesatuan Soviet pada 1991. -AFP

Berita Harian X