Rabu, 14 September 2016 | 2:11pm

`Penumpang bermasalah' paksa pesawat berpatah balik

NEW YORK: Pesawat American Airlines terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang John F Kennedy sejurus berlepas disebabkan gangguan oleh seorang penumpang yang dipercayai mengalami isu perubatan.

Jurucakap syarikat penerbangan berkenaan, Kent Powell, berkata pesawat ke Los Angeles itu berlepas dari New York kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, katanya, pesawat terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpang enggan mengikut arahan.

"Penumpang tidak mencederakan sesiapa tetapi kru memutuskan tindakan terbaik adalah berpatah balik ke New York," katanya.

Pesawat Airbus A321 membawa 97 penumpang dan lapan kru itu mendarat di Lapangan Terbang JFK kira-kira 45 minit kemudian.

Powell berkata, penumpang berkenaan dibawa keluar daripada pesawat untuk diberi penilaian. - AP

Berita Harian X