Ahad, 11 September 2016 | 7:10pm

Fungsi hebat Toyota Sienta


TOYOTA Sienta. - Foto Surianie Mohd Hanif

SELEPAS sekian lama peminat kenderaan pelbagai guna (MPV) menantikan kemunculan Sienta di pasaran tempatan, akhirnya UMW Toyota Motor Sdn Bhd memperkenalkan model serba baharu bagi memenuhi keperluan keluarga moden.

Model MPV kompak dengan sasaran jualan sebanyak 2,500 unit menjelang akhir tahun itu adalah kereta penumpang pertama Toyota berasaskan model tujuh tempat duduk yang diperkenalkan bagi pasaran negara ini.

Bagi pengimport tunggal kenderaan Toyota di Malaysia pelancaran memberi nafas baharu kepada pasaran MPV di Malaysia.

Walaupun dengan reka bentuk kompak, pakej keseluruhan Toyota Sienta memberikan fungsi hebat dengan ruang luas bagi semua penumpang dan barang yang dibawa.

Bagi pasaran lain seperti Indonesia, maklum balas umum terhadap Toyota Sienta ini sangat menggalakkan.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata UMW Toyota Motor mengharapkan sambutan serupa akan diterima daripada pelanggan negara ini.

Pelancaran Sienta baru-baru ini disempurnakan oleh Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki dan Ketua Jurutera Toyota Sienta, Horoshi Kayukawa.

Sementara itu, Ismet berkata, Toyota Sienta dibangunkan bagi memenuhi keperluan keluarga moden di bandar yang mahukan nilai premium dan rekaan unik.

"Penampilan model ini juga agak berbeza daripada MPV yang ada sebelum ini.

"Dengan banyak nilai tambah yang ditawarkan oleh Toyota Sienta, saya pasti ia akan memenuhi selera pengguna terutama keluarga muda yang mencari MPV kompak dan pada masa sama mampu memberi penjimatan minyak, spesifikasi canggih dan ciri keselamatan yang lebih baik," katanya.

Toyota Sienta ditawarkan dalam dua varian iaitu Sienta 1.5V dan 1.5G dengan enam pilihan warna dan dibawa masuk dari Indonesia.

Ia dijana oleh enjin petrol baharu dengan Dual VVT-i, manakala kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 107 PS pada 6,000 rpm dengan tork 140 Nm pada 4,200 rpm dan disalurkan ke tayar hadapan melalui Transmisi Terus Berubah (CVT).

MPV kompak itu juga dipertingkatkan dengan penggunaan penukaran tork dan pemandu boleh memilih antara tujuh kedudukan gear menggunakan mod 'Sport Sequential Shiftmatic'.

Dari segi keselamatan, MPV kompak ini dilengkapi dengan dua beg udara SRS pada bahagian hadapan, termasuk satu beg udara lutut yang terletak di bawah stereng pemandu.

Model kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif yang terdiri daripada Kawasan Penstabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Permulaan Bukit (HAC).

Toyota Sienta 1.5V dijual pada harga RM99,900, manakala Sienta 1.5G pada harga RM92,900 yang didatangkan dengan jaminan lima tahun tertakluk kepada terma dan syarat.

Info:

Toyota Sienta

* Harga RM99,000 bagi varian 1.5V dan RM92,900 bagi 1.5G

* Enjin: 2NR-FE 4-Silinder sebaris, 16 valve, DOHC dengan Dual VVT-i

* 107 PS @ 6,000rpm

* 140Nm @ 4,200rpm

* Transmisi: CVT dengan 7 kelajuan Sport Sequential Shiftmatic

* Keselamatan aktif: VSC, TC, Hill-start Asist Control, ABS, Sensor mengundur dan kamera mengundur

* Keselamatan pasif: 3 beg udara, ISOFIX

ends..

Ends

Berita Harian X