Sabtu, 10 September 2016 | 7:58am

Tayangan filem Kanang Anak Langkau ditangguh - FINAS

KUCHING: Tayangan filem 'Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior' terpaksa dijadual semula ke satu tarikh baharu berikutan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, berkata mengikut jadual awal, filem berkenaan seharusnya ditayang pada Ogos lalu, namun pihak penerbitan memohon untuk menangguhkannya.

"Filem itu sudah diluluskan tarikh tayangannya mengikut skim Syarat Wajib Tayang. Penerbit nak tayang filem tersebut pada Ogos lalu, namun dua minggu sebelum itu, dia minta Finas tarik balik kerana hendak menambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program #tanyafinas di sini semalam.

Ketika diminta memperinci punca tayangan filem itu terpaksa dijadual semula, Kamil berkata beliau dimaklumkan pihak penerbitan telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

"Filem itu sudah berada dalam sistem agak lama. Saya dimaklumkan antara yang perlu ditambah baik ialah dari segi bunyi, kualiti warna dan juga kesan khas," katanya.

Filem terbitan Tangan Seni Sdn Bhd itu memaparkan kisah perjuangan pahlawan negara mendiang Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau.

Pada 27 Mac lalu, tayangan khas filem arahan Bade Azmi itu telah diadakan di Kuching. - BERNAMA

Berita Harian X